Home MURTAD MURTAD JENAYAH AKIDAH YANG SEMAKIN BERLELUASA: SALAH SIAPA?

MURTAD JENAYAH AKIDAH YANG SEMAKIN BERLELUASA: SALAH SIAPA?

1688
0

Muktahir ini, berita pertukaran agama, khususnya yang melibatkan permohonan keluar daripada agama Islam (murtad) sering menjadi perhatian umum atau media massa. Meskipun isu ini telah lama berlaku dan tidak banyak dilaporkan, realitinya isu ini merupakan serangan barah akidah yang semakin galak menular. Fenomena ini amat membimbangkan kerana turut memberi kesan kepada masyarakat, khususnya Malaysia yang menjunjung Islam sebagai identiti negara.

Murtad merupakan jenayah akidah yang bukan sekadar mencemarkan imej Islam, bahkan akan melenyapkan identiti diri seorang Muslim.  Jenayah murtad kini dilihat semakin berleluasa menyebabkan orang Islam semakin berani memohon untuk murtad. Pemohon sanggup berjuang mendapatkan status seorang bukan Islam dari sudut undang-undang dan mewar-warkan kegembiraannya keluar daripada Islam.

Manakala orang bukan Islam juga semakin berani mencabar kedudukan Islam dan perbuatan menghina ajaran Islam semakin berleluasa. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan kepentingan Islam dalam negara, malah mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.

Kenapa fenomena ini boleh berlaku dengan lebih serius sekarang ini? Terdapat beberapa faktor yang menyumbang berleluasanya gejala murtad dalam kalangan Muslim di Malaysia. Antara faktor utama termasuklah:

1. Jauh daripada ajaran Islam.

2. Kejahilan masyarakat Muslim tentang keunggulan peraturan yang terkandung dalam agama Islam.

3. Muncul idealisme Barat yang menyesatkan pemikiran masyarakat Muslim seperti liberalisme, pluralisme, sekularisme dan sebagainya.

4. Propaganda Barat yang meluas yang bertujuan untuk merosakkan Islam.

5. Ketiadaan undang-undang yang berkesan bagi membendung jenayah murtad.

Justeru itu, pemantauan perlu dibuat daripada peringkat ibu bapa sendiri supaya anak-anak mempunyai asas agama yang kukuh. Asas yang kukuh dalam diri akan membolehkan seseorang anak atau individu tersebut tidak perlu khuatir dengan apa jua cabaran dunia yang dihadapinya. Kesesuaian peruntukan undang-undang juga adalah perlu diwujudkan dan dilaksanakan bagi melindungi kesucian akidah umat Islam.

Sumber: ‘Murtad Jenayah Akidah’, Dewan Tamadun Islam, Bil. 7, 2019.