Artikel ini bukanlah bertujuan untuk memainkan isu politik atau memecahbelahkan perpaduan, tetapi ia lebih kepada sebuah teguran kepada rakyat Malaysia berkenaan dengan adab kepada pemimpin walaupun dia bukanlah pilihan ataupun kesukaan kita. Heboh di media sosial seperti Facebook dan TikTok tentang satu ‘posting’ oleh seorang lelaki dengan nama ‘SamBanjar’ di Facebook yang menghina Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Di dalam ‘posting’ yang dimuatnaik oleh lelaki berkenaan menggambarkan bahawa kononnya akan ada satu ‘solidariti’ perhimpunan secara besar – besaran bakal diadakan untuk menggesa Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Kerajaan Perpaduan atau rakyat akan memberontak untuk menggulingkan Agong. Sama ada kita sedar ataupun tidak, ini sudah terang dan nyata merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja dan juga penghinaan kepada Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan juga ketua bagi agama Islam. Tahukah kita bahawa menghina pemimpin itu termasuk dalam ciri -ciri orang yang munafik? Daripada Abu Ad-Dardaa’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tanda pertama kemunafikan seseorang itu ialah dengan dia mencela pemerintahnya.” (HR Baihaqi).
Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) telah menetapkan bahawa wajib untuk semua orang Islam menghormati dan memuliakan pemimpin bersesuaian dengan kedudukannya sebagai penguasa dan tidak boleh mencerca, mencela, menghina atau merendah-rendahkan kedudukannya sehingga membuka pintu -pintu fitnah di dalam Masyarakat. Para pemerintah juga adalah manusia sebagaimana kita yang pasti akan berbuat salah dan silap, saling memerlukan nasihat, bimbingan, doa dan teguran.
Maka dari itu, adalah wajib bagi kita menegur dan menasihati mereka jika mereka berbuat kesalahan, namun tidak boleh merendah-rendahkan mereka. Al – Imam Ibn Al – Mubarak Rahimullah mengatakan:
“Hak (kebenaran) bagi seorang yang berakal adalah untuk tidak merendahkan tiga golongan manusia, (yakni): para ulama, para pemerintah dan para Ikhwan (saudara sesama Muslim). Sesiapa yang menghina ulama hancurlah akhiratnya, sesiapa yang merendahkan penguasa hancurlah dunianya, dan sesiapa yang merendahkan saudaranya hilanglah maruahnya.” (Siyar A’lam An – Nubala oleh Adz – Dzahabi, 17/251).
Ingatlah, pemerintah dan pemimpin itu adalah wajib untuk kita hormat dan taati selama ia tidak menyalahi hukum syariat agama Islam. Bahkan, Allah SWT juga mengangkat darjat seorang pemimpin yang adil dalam memipin rakyatnya. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW serta kepada ulil amri (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu).” (QS An – Nisa: 59).
Sumber: Portal Ilmu Sunnah (https://ilmusunnah.com/akibat-menghina-mencela-dan-mengaibkan-pemerintah/)