Home Ajaran Sesat JAUHI AJARAN SESAT AGAMA BAHARU PLURALISME!!! MENDAKWA SEMUA AGAMA ADALAH SAMA DAN...

JAUHI AJARAN SESAT AGAMA BAHARU PLURALISME!!! MENDAKWA SEMUA AGAMA ADALAH SAMA DAN MENGGABUNGKAN SEMUA AGAMA BAGI MENYEMBAH TUHAN YANG SATU

445
0

Islam dan umatnya tidak pernah sunyi daripada ancaman dan cubaan yang menganggu-gugat kesucian pegangan akidah dan syariatnya. Penularan ajaran sesat khususnya di Malaysia jika diperhalusi bukan sahaja datang daripada musuh Islam yang nyata tetapi juga dari cubaan mengelirukan lantas menyelewengkan umat Islam dengan menggunakan nama Islam kononnya menjaga kesucian agama ini.

Contohnya ajaran agama baharu pluralisme pada ketika ini mendakwa bahawa semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu. Ajaran ini turut mendakwa bahawa tiada satu pun agama tunggal dan ekslusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar. Semua agama dianggap sama yang dimaksudkan termasuklah dari sudut tujuan membawa manusia kepada mengenal, menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Secara kasarnya, dakwaan ini bagaikan benar kerana manusia memang memerlukan kepercayaan, pengamalan dan pengabdian.

Namun, adakah aspek kepercayaan, pengamalan dan pengabdian kepada Tuhan dalam Islam sama dengan agama-agama lain? Sudah tentu tidak sama sekali. Rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan yang wujud dalam agama Islam adalah jelas dan amat berbeza dengan agama-agama lain. Inilah aspek yang membezakan agama Islam dengan agama-agama lain. Cabaran akidah pada masa kini harus diambil cakna secara serius kerana bukan lagi datang dengan nama-nama seperti agama Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya, namun kini ianya datang dengan identiti yang lebih mengelirukan seperti mana fahaman agama baharu pluralisme. Yakinilah bahawa Islam adalah agama yang benar, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 19, maksudnya:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Sumber: Buku Ajaran Sesat-Merungkai Kekusutan & Kecelaruan -MAIS