Adat dan lumrah hidupnya manusia, pasti ada yang bersikap jahat dan ada yang bersikap baik. Namun, apa yang cuba ditekankan di sini adalah bagaimana untuk membalas sebuah kejahatan dengan setitis kebaikan? Walaupun ada yang mengatakannya tidak mungkin, kejahatan harus dibalas dengan kejahatan, tetapi sebagai seorang Muslim yang tawadduk, adakah perbuatan membalas dendam itu dituntut dalam Islam? Sudah pastinya tidak.
Allah SWT berfirman:
“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (QS Al- Fushilat: 34)
Allah SWT mengajarkan umatnya berbuat kebaikan. In Shaa Allah ia akan melembutkan hati yang keras. Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka. Ini kerana orang yang berusaha menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Sebagai umat Islam yang patuh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, wajib ke atas diri kita untuk sentiasa membalas segala perbuatan buruk itu dengan kebaikan. Salah satu contoh adalah berdoa. Bagi seorang mukmin, senjata yang paling ampuh bagi mereka adalah doa. Hidup ini adalah aturan dari Allah SWT dan Allah sahaja yang layak membalas segala perbuatan manusia di bumi ini. Seperti akhlak Rasulullah SAW, walaupun Baginda dihina, dicaci, dipukul dan sebagainya, Baginda masih mendoakan kesejahteraan si pelakunya agar Allah SWT memberikannya hidayah.
Ingatlah, balaslah sebuah kejahatan itu dengan setitis kebaikan. Kerana dengan setitis kebaikan itulah mampu menghapuskan sejuta kejahatan yang bakal melanda ke atas diri kita. Apa yang pasti, sudah tentu kita akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan perlindungan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT:
“Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah.” [QS. Asy Syura: 40]
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan