Ajaran sesat kebanyakannya bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ianya sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal. Ajaran sesat dipercayai dibawa masuk oleh penganut-penganut dari negara asal timbulnya ajaran sesat tersebut atau rakyat tempatan yang kembali semula ke Malaysia setelah belajar atau menetap di luar negara.
Munculnya ajaran sesat di negara ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya disebabkan wujud golongan musuh-musuh Islam yang ingin meruntuhkan ajaran Islam dengan mengubah, menyeleweng dan merosakkan ajaran Islam. Musuh-musuh Islam tidak akan duduk diam dan mereka sentiasa berusaha menghapuskan Islam.
Ajaran sesat juga wujud disebabkan adanya individu-individu yang mempunyai kepentingan diri seperti mendapatkan kedudukan, pengaruh, pangkat, harta dan sebagainya. Sedangkan jelas bahawa akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah ajaran yang betul, lurus, selamat dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri-ciri pegangan termasuklah:
- Berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama;
- Berpegang kepada ajaran Islam yang meliputi perkara berkaitan iman (akidah), Islam (syariat) dan ihsan (akhlak) atau sifat kehambaan;
- Berpegang kepada al-Quran Mashaf Uthmani serta as-Sunnah
- Percaya bahawa para Sahabat kesemuanya bersikap benar dan adil tanpa mengkufurkan mana-mana Sahabat Nabi SAW;
- Tidak mengkufurkan saudara Islam yang lain dengan mudah;
- Percaya dan beriman dengan perkara-perkara ghain; dan
- Kesederhanaa dalam kepercayaan dan pengamalan iaitu tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu cuai.
Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi ciri-ciri tersebut maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.Berhati-hatilah.
Sumber: Buku Ajaran Sesat: Merungkai Kekusutan & Kecelaruan – MAIS