Home MURTAD GEJALA MURTAD DALAM KALANGAN ANAK MUDA BERISIKO MEROSAKKAN AGAMA DAN MASA HADAPAN...

GEJALA MURTAD DALAM KALANGAN ANAK MUDA BERISIKO MEROSAKKAN AGAMA DAN MASA HADAPAN NEGARA

170
0

Keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat terutamanya Melayu-Islam sangat membimbangkan dewasa ini. Antara keruntuhan moral yang ketara ialah isu murtad. Isu murtad dilihat sangat sensitif dan terpencil tetapi ia membawa impak besar di dalam masyarakat beragama Islam dan negara. Isu murtad bukan sahaja tertakluk kepada mereka yang asalnya beragama Islam tetapi turut berlaku dalam kalangan masyarakat muallaf di Malaysia. Namun begitu, tiada angka yang jelas mengenai bilangan mereka yang murtad kerana angka ini tidak didedahkan secara rasmi,

Sedarkah kita bahawa murtad juga boleh berlaku melalui percakapan iaitu apabila seorang Muslim berkata sesuatu yang menghina agama, mencerca nabi dan mengaku ada Tuhan yang lain? Seseorang individu itu juga boleh dianggap murtad menerusi perbuatan, contohnya sujud kepada berhala dan memijak al-Quran. Antara salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala murtad dalam kalangan orang Islam di negara ini adalah pengaruh media massa yang mana ia menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup menjurus gejala murtad.

Faktor lain termasuklah kelemahan pegangan terhadap agama Islam itu sendiri yang disebabkan oleh kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada dalam keluarga sendiri semenjak kecil. Terjebak percintaan, perkahwinan dan penceraian juga antara faktor yang menyebabkan murtad dalam kalangan umat Islam. Pengaruh negatif rakan sebaya dalam persekitaran sosial turut menjadi penyumbang peningkatan jumlah kes-kes murtad saban hari.

Menurut Mufti Pulau Pinang, ramai ulama masih belum menunaikan tanggungjawab yang mencukupi dalam usaha menangani masalah murtad di negara ini. Beliau menyatakan bahawa mufti perlu menjelaskan keperluan agama khususnya kepada generasi muda bagi memastikan mereka memiliki pendidikan agama yang kukuh. Jika golongan muda ini tidak diambil cakna, dikhuatiri rosaklah agama rosaklah negara.

Sumber: Jabatan Komunikasi dan Media