Home Kemanusiaan/Motivasi MENINGGALKAN PERBUATAN YANG TIDAK BERMANFAAT TANDA KESEMPURNAAN IMAN

MENINGGALKAN PERBUATAN YANG TIDAK BERMANFAAT TANDA KESEMPURNAAN IMAN

1082
0

Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah. Antara sifat seorang Muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan diri dari perkara yang hina dan rendah moral. Sedangkan menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat, apatah lagi jika membawa kepada dosa dan maksiat adalah tanda kelemahan iman. Rasulullah SAW bersabda:

“Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya).” (HR at-Tarmizi).

Seperti yang semua maklum, di masa wabak pandemik Covid-19 melanda negara ini, ramai di antara kita yang terpaksa ‘bercuti’ panjang dari kerja kerana dikhuatiri akan berjangkit dengan wabak berkenaan. Maka, ramailah di kalangan manusia pada hari ini mengambil peluang untuk menerokai alam maya di laman sosial yang mereka tidak sempat lakukan suatu ketika dahulu. Ada yang menggunakannya untuk mencari ruang perniagaan, mencari-cari info tentang bagaimana untuk menjaga kesihatan di waktu serangan wabak, bagaimana caranya untuk melakukan kerja-kerja riadah seperti berkebun, bertukang dan sebagainya.

Namun, apa yang amat dikesalkan adalah tidak kurang juga ada di kalangan kita yang menggunakan laman sosial di waktu senggang ini untuk menyampaikan informasi yang salah, memutarbelitkan fakta, menyampaikan fitnah, bergosip, bercakap kosong dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang tidak patut ada pada dalam diri seorang Muslim. Apabila perbuatan itu dimulakan, maka ramailah orang yang akan percaya dan menyebarkannya ke seluruh jagat alam maya tanpa sebarang kajian dan pencerahan daripada pakar. Jangan terkejut apabila dikatakan ada sesetengah mereka sudah berani mewujudkan satu kumpulan untuk mereka-reka cerita yang tidak wujud berkenaan wabak Covid-19 ini terutama sekali hal yang berkaitan dengan vaksinasi dan rata-rata daripada mereka adalah yang beragama Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim ialah di mana umat Islam lainnya selamat dari lidah dan tangannya dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Bukhari).

Sedih, sepatutnya sifat orang Islam itu saling menyokong dan meraikan pendapat masing-masing. Bukannya mereka-reka cerita dengan tujuan menakutkan masyarakat khususnya sesama Muslim. Jika anda mencegah seseorang melakukan perkara yang baik sebagai contoh ikhtiar dalam perubatan vaksinasi, bagaimana sekiranya terjadi hal yang buruk keatasnya? Kepada siapa hendak dipertanggungjawabkan perkara tersebut? Orang Islam yang sebenar adalah orang yang memberi manfaat kepada manusia lainnya, bukannya mereka-reka atau mengada – adakan cerita yang tidak sahih demi untuk kepuasan diri dan meraih populariti di laman sosial.

Hentikanlah perbuatan yang tidak mendatangkan faedah kepada diri dan agama Islam. Allah SWT amat membenci orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Ingat, balasan Allah SWT kepada golongan ini amatlah dasyat kerana di usia yang masih tersisa tidak melakukan perkar yang disuruh oleh Allah SWT malah membuang masa terhadap perkara yang tidak berfaedah. Seperti dalam sebuah hadis Rasulullah SAW maksudnya:

“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan, dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan.” (HR Tirmizi).

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)