Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Bait – bait lagu ‘Your Mother’ nyanyian Yusuf Islam ini merupakan pesanan Raslullah SAW menerusi sebuah hadis yang disabdakan oleh Baginda apabila seorang lelaki datang menemuinya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik – baiknya?” Lalu Baginda menjawab “Ibumu”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayahmu.” (HR Bukhari).
Namun, masih ramai di antara kita yang lebih memilih untuk menjadi ‘Si Tanggang Moden’ kerana terlalu mengikutkan perasaan dan kehendak sendiri sehingga kita lupa bahawa redha Allah SWT itu datangnya dari redha kedua ibu bapa kita. Seperti kejadian yang berlaku baru – baru ini di mana seorang pempengaruh (influencer) media sosial yang tanpa segan silunya memaki hamun ibunya dengan perkataan yang tidak baik semasa melakukan siaran langsung (live) di platform TikTok.
Seperti yang semua maklum, platform media sosial tersebut bukanlah tempat untuk orang dewasa sahaja malah semua peringkat umur turut menyaksikan siaran langsung tersebut. Tidakkah beliau sedar yang beliau secara tidak langsung memberi pengaruh buruk kepada golongan muda khususnya golongan belia dan kanak – kanak untuk bertindak dengan tindakan yang sama kepada ibu bapa mereka?
Islam sangat mengangkat tinggi darjat kedua ibubapa sehingga sifat ihsan (berbuat baik) kepada kedua ibubapa telah diletakkan sebagai darjat kedua selepas darjat iman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (QS An – Nisa: 36).
Oleh itu, berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kita terutama sekali kepada ibu yang melahirkan dan membesarkan kita. Sentiasalah menjaga adab kepada kedua ibu bapa kita walaupun kadang – kadang tindakan mereka ada kalanya salah. Ingatlah, apabila ibu bapa kita sudah tiada di muka bumi ini, maka terputus segala doa dan keberkatan yang Allah SWT turunkan kepada kita. Sedarlah, kita menjadi apa yang kita jadi pada hari ini adalah hasil doa kedua ibu bapa kita yang tidak putus siang dan malam. Jangan kerana kehendak dan nafsu diri, kita memilih untuk menjadi ‘Si Tanggang Moden’. Berdoalah kepada Allah SWT agar ibu bapa kita sentiasa di dalam rahmatNya. Firman Allah SWT:
“Ya Rabbku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil.” (QS Al-Isra’ : 24).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan