Home Liberalisme KENALI JARINGAN ISLAM LIBERAL (JIL) YANG CUBA MENGELIRUKAN UMAT ISLAM

KENALI JARINGAN ISLAM LIBERAL (JIL) YANG CUBA MENGELIRUKAN UMAT ISLAM

80
0

Jaringan Islam liberal (JIL) adalah sebuah pertubuhan yang berasal daripada Indonesia yang pada mulanya hanyalah kelompok diskusi yang merespon fenomena-fenomena sosial-keagamaan. Lama-kelamaan kelompok ini yang disertai oleh golongan intelektual, penulis dan para akademik menampakkan ‘taringnya’ dengan membuat cubaan untuk mengkritik syariat Islam yang dikatakan tidak sesuai diamalkan pada masa kini.

Menjadi kekhuatiran apabila JIL ini kemudiannya cuba masuk ke Malaysia melalui jemputan dari acara-acara sosial yang dianjurkan dengan niat kononnya untuk berdiskusi hal-hal sosial-keagamaan. Sedangkan misi-misi utama yang didukung oleh JIL juga telah menunjukkan bahawa mereka adalah sebuah fahaman yang tidak selari dengan syariat Islam yang sebenar.

Secara asasnya, terdapat tiga misi utama yang digariskan oleh JIL. Pertama, mengembangkan penafsiran Islam yang liberal kerana lebih sesuai untuk diamalkan pada masa kini dalam masyarakat. Kedua, mengusahakan untuk mengadakan dialog secara terbuka dengan masyarakat dengan tujuan untuk mendoktrinkan pemahaman Islam liberal dalam kalangan umat Islam. Ketiga, kebebasan untuk memberikan pendapat dan berijtihad dengan mengajak umat Islam untuk memikirkan kembali beberapa doktrin agama yang cenderung merugikan dan memundurkan umat.

Kesimpulannya, Islam liberal adalah suatu bentuk penafsiran tertentu terhadap syariat Islam yang hanya bergantung kepada rasional akal semata-mata oleh siapa-siapa sahaja meskipun tidak mempunyai kelayakan dalam hal ehwal keagamaan seperti mana para ulama. Justeru itu, mengapa lagi perlu berpegang kepada fahaman liberal sedangkan mereka hanya mempergunakan nama Islam dengan tujuan memperalat, mengelirukan dan memesongkan umat Islam? Renung-renungkan.

Sumber: al-Mawarid Edisi VX