Kafir zimmi merupakan istilah yang akan diberikan kepada golongan bukan Muslim yang bernaung atau berlindung dengan negara-negara Islam, mirip dengan status seorang warganegara atau dalam istilah lainnya ‘muwatin’. Seorang zimmi mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang serta dilindungi secara saksama. Walapupun bukan beragama Islam, seorang zimmi adalah haram daripada dicederakan atau dibunuh tanpa sebab yang membolehkannya.
Walau dari segi makna zimmi membawa makna ‘mereka yang aman’ dan diperuntukkan dengan janji yang bersifat memberikan keamanan pada mereka, umat Islam tetap diminta untuk menjaga batasan sempadan dalam hal-hal berkaitan agama khasnya agama lain, walau serapat mana pun hubungan mereka dengan individu yang berlainan agama. Hal ini dianggap tepat dengan situasi di Malaysia yang mempunya rakyat berbilang agama dan mereka yang bukan beragama Islam boleh dikategorikan dalam golongan kafir zimmi.
Oleh sebab itu, dalam isu boikot produk-produk Israel demi menunjukkan sokongan Malaysia terhadap Palestin seharusnya umat Islam perlu bertindak sebaiknya kerana ianya merupakan salah satu jihad kecil dalam membantu sesama Islam. Namun begitu, isu mula timbul apabila ada pihak yang meletakkan syarat-syarat tertentu dan tidak munasabah semata-mata tidak ingin mengguriskan hati golongan bukan Islam atau kafir zimmi di Malaysia.
Keadaan ini mengingatkan dengan salah satu kisah bagaimana umat Islam di zaman Rasulullah SAW dahulu bersikap tegas mempertahankan muslimah yang diganggu di Pasar Bani Qainuqa’. Tindakan mempertahankan muslimah tersebut menyebabkan seorang muslim terkorban dan akhirnya Rasulullah SAW mempersiapkan bala tenteranya untuk mempertahan hak muslim yang dizalimi. Begitulah bersungguhnya Rasulullah SAW, para Sahabat serta khalifah terdahulu mempertahankan hak kaum muslimin yang dizalimi. Anehnya hari ini kita begitu takut untuk bercakap soal kezaliman yang berlaku ke atas saudara kita sehingga mengenakan pelbagai syarat bagi menjaga sensitiviti golongan kafir zimmi.
Lebih malang lagi apabila terdapat golongan kafir zimmi itu sendiri boleh bersepakat dan bersatu dalam tidak memberikan sokongan kepada saudara muslim kita yang dizalimi. Sedangkan sikap itu adalah bercanggah dengan sifat orang yang beriman sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Fath, ayat 29, maksudnya: “Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).”
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi