Kita sering sahaja mendengar ayat-ayat seperti “amalkan sikap besederhana” atau “Islam menganjurkan kita untuk bersikap sederhana”. Ya, di dalam hidup ini, kita perlu bersikap sederhana di dalam semua aspek kehidupan. Islam tidak menggalakkan umatnya berlebih-lebihan hingga berlakunya pembaziran.
Firman Allah SWT:
“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.” (QS al – Furqan: 67).
Sesungguhnya mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri daripada bersikap boros dan membazir. Dalam berbelanja kita hendaklah mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu mesti dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi tabiat. Ketahuilah, sikap boros berbelanja boleh mengundang masalah seperti menanggung hutang dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW:
“Sungguh beruntung, orang yang (beragama) Islam, diberi rezeki yang cukup, dan menerima apa yang diberikan Allah kepadanya.” (HR. Imam Muslim).
Oleh itu, sebagai umat Islam kita sepatutnya mengamalkan sikap berjimat cermat serta bersederhana dalam apa-apa juga yang kita belanjakan kerana dengan amalan tersebut dapat mendisiplinkan diri kita menuju ke arah sifat qanaah iaitu menerima dengan rela apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Bukan itu sahaja, besederhana itu juga akan membuatkan hidup kita menjadi lebih berkah dan diredhai Allah SWT.
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)