Home Kemanusiaan/Motivasi TUNTUTAN BERAKHLAK MULIA BUAT GOLONGAN MUSLIMIN TANPA AKHLAK MURNI, UMAT ISLAM BERADA...

TUNTUTAN BERAKHLAK MULIA BUAT GOLONGAN MUSLIMIN TANPA AKHLAK MURNI, UMAT ISLAM BERADA DI DALAM KETEMPANGAN

360
0

Sudah menjadi kewajipan buat umat Islam untuk sentiasa berakhlak mulia dan ini sudah dituntut sebagaimana di dalam al – Quran dan hadis. Seseorang yang berperilaku sesuai dengan Al-Quran dan hadis, maka itu lah akhlak yang sempurna dan tidak melanggar ajaran agama Islam. Di dalam kehidupan seorang Muslim, akhlak tidak dapat dipisahkan. Akhlak memiliki peranan yang sangat penting dalam menjaga keharmonian hubungan kita antara Allah SWT, umat manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Sesungguhnya akhlak seseorang itu terbina kukuh apabila hatinya bersih yang tidak diselaputi dengan abu karat sifat mazmumah. Apabila hati seseorang itu bersih, kesannya jelas terserlah pada apa sahaja pergerakan anggota fizikalnya. Ini selaras dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada sepotong daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya, Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (HR Bukhari dan Muslim).

Kekalutan sosial yang seringkali berlaku kebelakangan ini sebenarnya timbul apabila terdapat sesetengah pihak yang busuk dan buruk hatinya. Sebagai contoh, fenomena fitnah memfitnah dan berhasad dengki adalah petanda bahawa hati seseorang individu itu hatinya tidak bersih. Atas sebab itu, Rasulullah SAW secara jelas melarang keras umatnya daripada melakukan perbuatan tersebut. Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bersabda:

‘Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun berada di dalam rumah sendiri.”

Begitu juga halnya dengan sikap suka mengumpat. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita emua akan kesan buruk yang bakal berlaku kepada si pengumpat yang mana Baginda menyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya membabitkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya.” (HR Bukhari).

Oleh itu, adalah wajib untuk kita sentiasa berakhlak baik sesama manusia. ‘Peta Kehidupan’ seseorang Mukmin sepatutnya berteraskan kepada akhlak murni yang selari dengan nilai Islam. Setinggi mana sekalipun ilmu pengetahuan, sekaya mana sekalipun kekayaan yang dimiliki ataupun sekuat manapun pengaruh darjat status sosial seseorang itu, tanpa akhlak murni, ia tetap berada dalam ketempangan. Ingatlah pesan Rasulullah SAW:

“Takutilah Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan akan dapat menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

Sumber: Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)