Home Kemanusiaan/Motivasi MENJELANG PRU15 – UMAT ISLAM DISARANKAN AGAR MEMBUAT PILIHAN YANG TERBAIK DEMI...

MENJELANG PRU15 – UMAT ISLAM DISARANKAN AGAR MEMBUAT PILIHAN YANG TERBAIK DEMI KESATUAN UMMAH DAN AGAMA ISLAM

308
0

Pilihanraya Umum kali ke-15 bakal berlangsung dalam masa dua minggu dari sekarang, sudah kah kita bersedia? Namun bagi umat Islam, terdapat beberapa panduan dalam memilih pemimpin yang nanti bakal diangkat sebagai ketua yang mampu membawa suara masyarakat ke peringkat paling tinggi dalam pentadbiran negara. Justeru, pemilihan seorang pemimpin perlulah melalui beberapa kriteria yang ditetapkan dalam agama. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika ada tiga orang bepergian, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.” (HR Abu Daud).

Pemimpin adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga setiap perkara yang diamanahkan. Kepimpinan pula merupakan suatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Seseorang pemimpin perlu memelihara diri daripada melakukan perbuatan buruk, menegakkan kewajiban syarak dan melaksanakan tugas yang dipikulnya dengan baik dan adil. Terdapat beberapa syarat dan kelayakan bagi seseorang calon sebelum dipilih menjadi pemimpin seperti yang digariskan Islam sebagai panduan. Antara kriteria berikut adalah:

1) Amanah dan berkemampuan. Seorang pemimpin yang amanah akan berusaha sekuat tenaga untuk mensejahterakan kebajikan dan hidup rakyatnya walaupun sumbernya agak terbatas. Apa yang penting baginya ialah keutamaan kesejahteraan kepada rakyat dan bukannya untuk kepentingan diri atau orang-orang yang terdekat dengannya. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada selain ahlinya, maka nantikanlah kiamat/kehancuran.” (HR Bukhari).

2) Adil. Seorang pemimpin haruslah berlaku adil di dalam semua perkara terutamanya apabila berkaitan dengan soal hukum. Jangnlah kita memilih seorang pemimpin yang kita lihat dan dapat rasakan dia tidak mampu berlaku adil kepada masyarakat. Ini kerana sudah dinyatakan di dalam al – Quran bahawa setiap pemimpin haruslah berlaku adil dalam memimpin masyarakat. Ia seperti yang dinyatakan dalam surah al – Ma’idah, ayat 8:

“Hai orang-orang yang beriman! Tegakkanlah keadilan sebagai saksi kerana Allah. Dan janganlah kerana rasa benci mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana itu lebih dekat dengan takwa.”

3) Jujur dan suka hidup bersederhana. Pilihlah pemimpin yang hidup bersederhana dan jujur. Tidak gila pada harta dunia dan kuasa, tetapi lebih banyak melakukan amal sedekah sebahagian hartanya untuk rakyat.

4) Pemimpin yang mencegah kemungkaran. Pilihlah pemimpin di kalangan insan yang mahu mencegah kemungkaran dengan tangannya sendiri seperti korupsi, nepotisme, manipulasi dan lain-lain sebagai contoh model kepemimpinan dalam perspektif Islam.

5) Yang mampu mempersatukan ummah. Pilih pemimpin yang boleh menyatukan semua ummah dan bukannya yang fanatik terhadap kelompoknya sendiri.

Oleh itu, marilah kita berfikir sejenak tentang kriteria pemilihan seorang pemimpin ini dengan sedalam-dalamnya. Pilihlah pemimpin yang mampu menyatukan kesatuan ummah dan mampu melindungi serta membela agama Islam terutamanya tanpa menyentuh sensitiviti agama lain. Islam sangat menekan aspek moral sebagai salah satu sifat utama seorang pemimpin dan ciri-ciri pemilihan dan kelayakan pemimpin. Buatlah pilihan yang tepat agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Sumber: Berita Harian (16 Ogos 2019).