Home Kemanusiaan/Motivasi SEDEKAH JARYIAH AMALAN BERKEKALAN UNTUK DIBAWA KE AKHIRAT

SEDEKAH JARYIAH AMALAN BERKEKALAN UNTUK DIBAWA KE AKHIRAT

350
0

Sedekah adalah amalan mulia terutamanya dalam kalangan berkemampuan kerana ia bukan sahaja dapat mempertingkatkan keimanan tetapi juga membantu golongan susah yang memerlukan pertolongan. Bagi yang memahami konsep sedekah, kita akan meyakini bahawa amalan terpuji itu bukan sahaja menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan kelak.

Namun, masih ramai mengambil sikap lewa tentang kebaikan bersedekah ini. Tahukah kita dengan bersedekah kita akan mendapat ganjaran yang besar? Sedekah dapat menghapuskan dosa, mendapat naungan di akhirat, tidak akan berkurang harta, ubat kepada penyakit, selamat daripada musibah dan masuk ke syurga melalui pintu sedekah. Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa. Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat yang satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan orang yang menahan (sedekah dan kedekut) dengan kemusnahan.” (HR Bukhari).

Terdapat dalam kalangan masyarakat hanya mahu bersedekah jika atau setelah mereka menjadi kaya. Sikap ini, terangnya, perlu diubah kerana tidak perlu menunggu kaya untuk melakukan sedekah. Kita perlu biasakan diri dengan bersedekah walaupun dalam jumlah kecil tetapi yang penting istiqomah setiap hari sehingga pintu rezeki terbuka luas seperti mana dibukanya syurga untuk golongan dermawan. Asbab sedekah ini juga akan memadamkan api keegoan, menggembirakan hati dan menghilangkan keresahan. Kalau ingin sedekah tunggu kaya dulu, maka akan kurang orang melibatkan diri membantu orang lain.

Rasulullah SAW menganjurkan amalan bersedekah diutamakan kepada pihak yang berada di sekeliling dahulu. Antaranya, adik beradik, sanak saudara, jiran serta masyarakat kampung dan seterusnya kepada masyarakat umum yang memerlukan. Oleh itu sedekah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja bila-bila masa tanpa menunggu menjadi kaya.

Sumber: Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)