Home Kemanusiaan/Motivasi SALING BERKASIH SAYANG DAN BERSILATURAHIM ADALAH ASAS PERPADUAN UMMAH DAN BENTENG KEMAKSIATAN...

SALING BERKASIH SAYANG DAN BERSILATURAHIM ADALAH ASAS PERPADUAN UMMAH DAN BENTENG KEMAKSIATAN BAGI SETIAP MUSLIM

920
0

Mutakhir ini, ramai di antara kita sudah hilang rasa hormat dan sopan santun sesama sendiri terutamanya kaum Muslim. Boleh dikatakan saban hari kita dipertontonkan di laman sosial bagaimana perlakuan manusia yang kurang sopan, tidak beradab dan yang paling teruk adalah sikap mereka yang melampaui batas. Apa yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang? Mana perginya nilai dan sopan santun serta kasih sayang yang disulami dengan nilai-nilai Islam yang diajarkan kepada kita sejak zaman-berzaman?

Dari Abi Musa al-Asyari, sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk. (HR Tobrani: 13671)

Lihat hadis di atas, Rasulullah SAW sendiri telah menegur para sahabat untuk saling berkasih sayang kepada semua makhluk terutama sekali kita sebagai manusia dan sesama Muslimin. Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam dan dapat menghalang segala kebatilan dalam diri. Ini kerana barangsiapa yang saling sayang-menyayangi dan mengukuhkan silaturahim, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang terbaik di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW:

“Firman Allah Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana  keagunganKu akan mendapat minbar-minbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada’.” (HR at-Tirmizi)

Dalam hal ini, walaupun secara zahirnya manusia akan kembali menemui Allah SWT dalam keadaan keseorangan, tetapi seorang Mukmin tetap bergantung kepada doa daripada saudara Islam untuk mendapat tempat yang baik di akhirat nanti. Islam juga mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Berita Harian “Jaga silaturahim tanda kesempurnaan iman” (16 Ogos 2015)