Home Kemanusiaan/Motivasi BERUKHUWAH DAN BERKASIH SAYANG FAKTOR KEJAYAAN MEMBINA NEGARA

BERUKHUWAH DAN BERKASIH SAYANG FAKTOR KEJAYAAN MEMBINA NEGARA

743
0

Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Ukhuwah pula satu ikatan yang kukuh terbina antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain atau saudara berbeza agama lainnya.

Kedua-dua sifat itu perlu ada dalam diri setiap insan kerana dengan adanya kebaikan-kebaikan tersebut, ia dapat menjadi benteng pertahanan bagi sesebuah negara untuk kekal aman dan harmoni. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12)

Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah meraikan wujudnya kepelbagaian dan perbezaan. Melalui ikatan ukhuwah dan kasih sayang, ia sekaligus menunjukkan kesempurnaan iman seseorang dengan adanya sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Ini sama seperti hijrah Rasulullah SAW ke Madinah untuk mempersaudarakan kaum Auz dan Khazraj yang sebelum ini bermusuh dan berperang tanpa henti. Apabila Baginda hadir dengan membawa keberkahan, tiada lagi persengketaan antara mereka bahkan mereka lebih berkasih sayang. Secara tidak sedar, langkah strategik Rasulullah SAW itu telah membawa kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang baik.

Justeru, sebagai umat Rasulullah SAW dan sebagai Muslim sejati, kita seharusnya menjadikan langkah Baginda sebagai satu panduan untuk membina negara aman, makmur dan sejahtera. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama. Ini adalah senjata yang paling ampuh untuk membina sebuah negara yang berjaya.

Sumber: Portal Rasmi Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)