Sebagaimana luasnya rahmat Allah SWT kepada semua makhluk, begitu juga luasnya nilai rahmah dalam kehidupan. Jika kita masih tercari-cari nilai sebuah rahmat, maka rujuklah kepada akhlak Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (QS al-Ahzab: 21)
Lihat bagaimana akhlak Rasulullah dalam melayani sahabat dan musuh Islam. Walaupun di pihak musuh sering melempari fitnah dan dusta, Baginda tetap menunjukkan akhlak yang baik dan tidak terpancing dengan provokasi pihak lawan. Ya, kita ini bukanlah manusia sempurna yang mampu mengikuti setiap inci akhlak Rasulullah SAW, akan tetapi setidaknya amalkan walau hanya sedikit akhlak yang Baginda warisi kepada kita sebagai umat Islam.
Daripada Abi Musa al-Asyari, sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk. (HR Tobrani: 13671)
Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, anak, serta sesama manusia.
Oleh itu, sayang menyayangilah di antara kita sesama orang beriman, kerana ia berkait rapat dengan keutuhan iman seseorang itu kepada Allah. Hal itu kerana tuntutan menyayangi bukan hanya kepada sesama Muslim malah kepada orang bukan Islam juga seluruh makhluk yang lain dengan memberi hak mereka sewajarnya. Menurut Ibnu Qayyim, kasih sayang adalah sifat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain dan bersedia bersusah payah mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan kepada orang lain.
Justeru, mari kita tunaikan tuntutan iman untuk bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain bukan memusuhi. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya).” (HR Bukhari dan Muslim)
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Website Universiti Teknologi Malaysia (people@utm)