Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun 2024, apa yang pasti ada di antara kita sudah pun memasang azam baru untuk menjadi diri kita dalam versi yang lain. Untuk umat Islam, apakah kita tidak mahu untuk memasang azam kita untuk menjadi Muslim dalam versi yang lebih baik? Tidakkah kita terfikir untuk bermuhasabah diri merenungkan hakikat diri, apa yang sudah dilakukan sepanjang tempoh setahun yang lalu itu. Atau kita masih dibelenggu rasa tidak rugi apa-apa dengan masa terbabit.
Dengan melakukan muhasabah diri menjelang hadirnya tahun baru ini akan menjadi ‘penyedar’ kepada segala kesilapan lalu dan sebagai ‘pencetus’ untuk membaiki reputasi diri. Antara langkah yang boleh dilakukan dalam oleh kita dalam menjadi Muslim yang lebih baik:
1) Perbaharui niat.
2) Buat perancangan yang rapi dalam mengambil langkah untuk berhijrah.
3) Memulakan azam baru dengan mengubah hal – hal yang kecil.
4) Mencari rakan atau komuniti yang baik dalam membantu kita melakukan hijrah.
5) Sabar dan istiqamah.
6) Percaya pada diri dan berusaha semampu mungkin.
7) Meraikan setiap pencapaian dalam perubahan.
8) Jangan lupa untuk berdoa.
Seperkara lagi yang sangat perlu kita bersama renungkan secara mendalam nenjelang hadirnya tahun baru ini ialah berkenaan pesanan Rasulullah SAW yang berpesan dari hal lima waktu yang sangat berharga yang sewajibnya kita maksimumkan penggunaannya. Sabda Rasulullah SAW:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda kamu sebelum datangnya masa tua, masa sihat sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin, masa lapang sebelum hadirnya masa sibuk dan masa hidup sebelum datangnya masa mati.” (HR al – Hakim dan al – Baihaqi).
Ada baiknya semasa berada pada saat ambang menjelangnya tahun baru ini, kita menjadi semakin dekat dengan Tuhan untuk memohon supaya dipermudahkan segala azam dan kerangka kerja pada tahun yang bakal menjelang nanti. Berdoa dengan iringan air mata tanda merendah diri ke hadrat Ilahi sambil memohon restu dan berkat supaya masa dan gaya kehidupan pada tahun hadapan menjadi lebih bermakna dan menepati kehendak agama. Semoga kedatangan tahun baru 2024 bakal menjadikan kita seorang insan yang semakin baik dalam pelbagai segi kehidupan berbanding tahun-tahun lalu. Setiap azam yang disemat dalam hati, kita susuli dengan kekuatan semangat untuk menjayakannya. In Shaa Allah.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)