Perlu ditegaskan bahawa isu ajaran sesat bukanlah suatu isu yang boleh dipandang ringan dan ditangani secara sambil lewa. Isu ajaran sesat adalah isu yang amat penting kerana ia menyentuh kehidupan dan akidah seorang Muslim.
Penularan ajaran sesat di negara ini semakin membimbangkan. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai ajaran sesat yang timbul dengan pelbagai nama dan versi kesesatannya Ajaran sesat ini semestinya akan memberi kesan kepada keislaman dan keimanan seseorang pengikut dan pengasas ajaran tersebut. Namun, yang menjadi persoalannya, kenapa masih ada umat Islam di negara ini yang mudah terpengaruh dengannya sedangkan sesetengah ajaran sesat tersebut memang sangat jelas kesesatannya sehingga tidak mengiktiraf Rasulullah s.a.w. dan gurunya pula mengaku sebagai Rasul dan Nabi, tidak percaya kepada al-Quran, mentafsir sesuatu yang di dalam al-Quran dan Hadis nabi menggunakan logik akal semata-mata dan pelbagai kesesatan lagi. Kajian dan tinjauan menunjukkan punca utama terpengaruh dengan ajaran sesat adalah disebabkan kejahilan dalam agama, berfikiran liberal, dan mula mencari sesuatu hal keduniaan untuk memuaskan diri dan nafsu sehingga apabila berjumpa dengan guru ajaran sesat tersebut, mereka amat mudah dipengaruhi.
Terkini, timbul pula ajaran sesat ‘Agama Islam Melayu Ibu Yati’ yang mula dikesan apabila Ibu Yati (antara pengamal tegar dan bekas wartawan) menyebarkan ajaran tersebut dalam facebooknya. Isu ajaran ‘Agama Islam Melayu Ibu Yati’ ini menjadi topik perbincangan hangat di kalangan masyarakat dan media sosial. Tokoh-tokoh agama di negara ini dari JAKIM, ASWAJA, Mufti dan Jabatan Agama telah mengeluarkan kenyataan bahawa ajaran ‘Agama Islam Melayu Ibu Yati’ ini adalah ajaran yang sangat sesat dan menyesatkan. Cuma majlis fatwa kebangsaan dan negeri masih belum lagi mengeluarkan fatwa tentang kesesatannya mungkin masih dalam penyiasatan yang terperinci sebelum satu fatwa dikeluarkan. Antara kesesatan yang sangat jelas yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah:
- Mengatakan ada ajaran lain yang lengkap selain ajaran Islam iaitu ajaran ‘Agama Islam Melayu’.
- Mendakwa Islam bukan berasal dari ajaran nabi yang berbahasa Arab tetapi ajaran Islam yang benar Islam disampaikan oleh umat Melayu dalam bahasa Melayu. Ini bercanggah dengan firman Allah dalam surah Yusuf: 2, yang mengatakan Islam diturunkan dalam bahasa Arab.
- Mendakwa surah al-Fatihah bukan dari firman Allah. Ia adalah doa manusia kepada Allah. Mereka juga mendakwa surat al-Fatihah adalah kata-kata iblis azazil.
- Mengadakan ritual ibadah yang menyesatkan termasuk mengucap syahadah dengan ucapan “ila ha ila ra ila ma” dan disambung dengan pengakuan “Aku Melayu” sebanyak 7 kali.
- Mendakwa al-Quran yang ada sekarang adalah palsu, Nabi Muhammad bukan Islam dan mengkafirkan umat Islam.
- Mempercayai tahyul dan kurafat yang mensyirikkan seperti mempercayai telur naga sakti dan pelbagai warisan wali-wali yang mempunyai keajaiban tertentu.
- Melakukan pelbagai ritual lain yang bercanggah dengan syariat dan mensyirikkan.
- Mentafsir sesuatu ajaran dalam Islam mengikut logik akal semata-mata sedangkan apa yang ditafsir, difahami dan diamalkan memang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Sebenarnya akal manusia sangat terbatas dan sama sekali tidak dapat mentafsirkan sesuatu urusan agama mengikut logik akal. Akal memerlukan petunjuk Allah untuk menunjuk kepada kebenaran yang hakiki dalam menjalani kehidupan. Sebab itu Allah menurunkan Rasul dan al-Quran untuk memberi petunjuk yang benar kepada manusia. Namun oleh kerana mengikut ingin hawa nafsu dan hasutan syaitan, ia telah menyesatkan mereka yang tidak mempunyai keyakinan yang mantap dan berpaling daripada petunjuk Allah dan RasulNya. Oleh yang demikian, sejak dahulu sehingga kini, terdapat juga golongan manusia yang pada namanya Islam tetapi akidah mereka terpesong daripada pegangan agama fitrah ini. Golongan ini mendakwa berada di atas paksi Islam yang benar, hakikat sebaliknya mereka terjebak dalam kancah kesesatan yang amat nyata. Sepatutnya sebagai seorang muslim, perkara asas terutamanya akidah dan syariah perlu digenggam erat walaupun pahit dan getir yang terpaksa dihadapi.
Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlulah bersatu-padu untuk mendedahkan dan membanteras kewujudan ajaran sesat supaya ianya tidak mendatangkan kekeliruan terhadap pemahaman ajaran Islam yang sebenar dan mempengaruhi akidah umat Islam khususnya anak muda pada masa akan datang.
Sumber: Jurnal Usuluddin, Bil 26 [2007]