Home MURTAD AWAS, BAHAYA MURTAD!!! JAGALAH AKIDAH AGAR TERSELAMAT DARIPADA PENGARUH IDEOLOGI SESAT YANG...

AWAS, BAHAYA MURTAD!!! JAGALAH AKIDAH AGAR TERSELAMAT DARIPADA PENGARUH IDEOLOGI SESAT YANG MEMBAWA KEPADA KEMURTADAN

188
0

Agama Islam adalah satu-satunya yang dapat menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Tidak ada agama yang paling sempurna selain Islam, tidak ada ajaran dan pegangan yang paling baik dan indah selain yang ada di dalam Islam, Islam sahajalah agama yang diperakui oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 19 :
Maksudnya: ”Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai di sisi Allah ialah Islam.”

Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam menjaga dan memelihara keislamannya dengan menjaga akidahnya daripada sebarang perkara yang boleh menjadikannya rosak dan terbatal. Jika terbatal akidah seseorang Islam itu, maka ia telah menjadi murtad. Jika seseorang telah murtad, lalu dia mati, maka hapuslah segala amal ibadat yang telah dilakukannya. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 217:

Maksudnya: ”Dan sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedang dia dalam keadaan kafir maka sia-sialah amalan mereka yang baik-baik di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Akidah adalah perkara yang amat penting dan sensitif dalam agama Islam. Ia tidak boleh dipersendakan atau dipermain-mainkan sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan. Tidak diragukan lagi bahawa mempersenda atau mempermain-mainkan perkara agama adalah satu dosa dan dan boleh membawa kepada terkeluar daripada agama Islam (murtad) jika tidak bertaubat.

Kita sepatutnya bersyukur kerana telah terpilih menjadi umat Islam, maka hendaklah kita jaga dan pelihara keislaman kita itu dengan sebaik-baiknya. Sama-samalah kita berdoa semoga iman kita akan sentiasa ditetapkan, hidup dalam beriman, mati dalam beriman, dikumpulkan di akhirat kelak bersama-sama orang-orang yang beriman, dan dimasukkkan ke syurga bersama orang-orang yang beriman.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam