Home Kemanusiaan/Motivasi DUGAAN ALLAH SWT ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA PROSES PENGHAPUSAN DOSA

DUGAAN ALLAH SWT ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA PROSES PENGHAPUSAN DOSA

292
0

Sesungguhnya dugaan dan ujian yang datang ke dalam hidup kita adalah untuk menguatkan serta memantapkan lagi iman kita kepada Allah SWT. Benar, bukan mudah untuk mengawal kesabaran apabila berdepan musibah dan dugaan besar dalam hidup seperti ditimpa penyakit, kematian orang tersayang dan diuji dengan kesempitan hidup. Setiap musibah yang menimpa diri akan diberi ‘pampasan’ oleh Allah SWT iaitu dihapuskan dosa serta ditingkatkan iman mereka.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin mengemukakan makna sabar adalah menerima dengan lapang dada hal yang menyakitkan dan menyusahkan serta dapat menahan marah atas perlakuan kasar. Menurutnya, sesiapa mengeluh apabila diperlakukan dengan buruk oleh orang lain, maka hal itu menunjukkan akhlaknya yang masih buruk. Allah SWT berfirman:

“Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi””. (QS al – Ahqaf: 35).

Al-Quran mengajarkan kepada orang beriman supaya terus bersabar ketika ditimpa kesusahan dan musibah. Sikap terbaik yang perlu dilakukan adalah ‘istirjaa’ iaitu mengembalikan semua urusan kepada Allah SWT dengan mengucapkan ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’ (Sesungguhnya kita adalah milik Allah SWT dan kita akan kembali kepada-Nya juga).

Walaupun sesuatu ujian berat untuk diterima, namun kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan. Contohilah sifat Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian kehilangan. Lihat bagaimana Baginda menghadapi ujian ini dengan hati yang penuh tawadduk dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Dalam hal ini, kekuatan jiwa perlu dibangunkan dengan menyerahkan kebergantungan yang tinggi kepada Allah, menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan membina sifat positif.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)