Home Liberalisme CARA HIDUP BERASASKAN WAHYU, BUKAN WAHYU DISTRUKTURKAN SEMULA MENGIKUT KEMODENAN SEPERTI MANA...

CARA HIDUP BERASASKAN WAHYU, BUKAN WAHYU DISTRUKTURKAN SEMULA MENGIKUT KEMODENAN SEPERTI MANA FAHAMAN LIBERAL

269
0

Secara tradisinya, umat Islam menyusun hidup mereka berdasarkan idealism wahyu yang diturunkan Allah SWT. Berasaskan kaedah ini, wahyu itu dapat difahami sebagai suatu nilai yang menstrukturkan kehidupan. Dengan itu, umat Islam berusaha mengubah dan mencorakkan kehidupan mereka agar selaras dengan nilai wahyu. Umat Islam umumnya tidak pernah bertindak secara bertentangan, dengan maksud mengubah dan mencorakkan wahyu agar selaras dengan adat kebiasaan hidup mereka.

Begitu pun, secara khususnya, memang diakui ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan sikap beransur-ansur dan tolak-ansur dalam menurut tuntutan wahyu, yang juga menjadi ajaran Islam, seperti beransur-ansur dalam pelaksanaan hukum-hakam syariah. Tuntasnya, yang diikuti adalah wahyu, bukan kebiasaan manusia; dan yang diubah adalah kebiasaan itu, bukan faham yang benar terhadap wahyu, biarpun faham tersebut berbeza dengan adat kebiasaan semasa.

Walau bagaimanapun, cara moden nampaknya menjadikan idea-idea liberalisme sebagai panduan. Melalui cara baru ini, kehidupan manusia distrukturkan dalam paradigma liberalisme. Di sini, kebiasaan manusia diubah dan dicorakkan agar selaras dengan liberalisme. Perubahan ini dibuat juga walaupun nilai liberalisme tidak selaras dengan adat kebiasaan manusia, seperti dalam isu kebebasan homoseksual. Kemudian, apabila didapati sebarang ajaran Islam yang tidak selaras dengan perspektif liberal, maka panduan wahyu yang berkenaan diubah dan dicorakkan agar mempersetujui nilai terkini.

Penstrukturan semula nilai Islam ini dilakukan melalui pentafsiran semula teks-teks wahyu dengan suatu pengertian semasa yang kadang-kala tidak pernah difahami sedemikian oleh seluruh ulama tradisional. Ketika inilah “a newer ‘protestant’ Islam will be born in conformity with conditions of life” 16 apabila liberal Muslim “has interpreted the Qur’an to confirm those values.” Inilah rangka umum modenisasi dan liberalisasi agama yang dilakukan ke atas Islam. Maka berhati-hatilah kerana aliran pemikiran baru dalam kalangan sepuak Muslimseperti Islam liberal ini, sudah pasti akan berusaha untuk menarik umat Islam yang lain untuk turut bersama berfahaman liberalisme.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 40 -UPM