Home Kemanusiaan/Motivasi RASA BERSALAH TERHADAP DOSA YANG DILAKUKAN MERUPAKAN TANDA NIKMAT ALLAH SWT

RASA BERSALAH TERHADAP DOSA YANG DILAKUKAN MERUPAKAN TANDA NIKMAT ALLAH SWT

313
0

Fitrah dalam kehidupan manusia untuk berbuat salah, malah kesalahan itu kadang kala dilakukan lebih daripada sekali. Walau bagaimanapun, tidak mengapa. Ini kerana seseorang melakukan kesalahan kemudian merasa dirinya bersalah lebih baik dari mereka yang beramal soleh kemudian merasa dirinya suci bersih. Yang terbaik di antara keduanya ialah mereka yang beramal soleh, kemudian merasa dirinya lemah tidak berdaya kecuali dengan pertolongan dan kekuatan dari Allah SWT semata. Mereka juga sentiasa beristighfar dari dosa yang disedari mahupun tidak disedari.

Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Banyak nas-nas yang secara jelas menerangkan berkenaan hakikat ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.” (HR Ibnu Majah).

Tatkala terdetik rasa bersalah dan menyesal dalam diri yang telah melakukan dosa, di sana Allah SWT sedang memandang kita dengan penuh kasihan belas dan kasih sayang. Rasa menyesal itu merupakan taufik dari Allah SWT agar diri kita tidak meninggalkanNya jauh dan semakin jauh. Rasa bersalah yang menghantui itu pula merupakan dorongan dari Allah SWT agar segera bertaubat kepadaNya.

Oleh itu, jangan sesekali putus asa dalam hidup. Ingatlah, rasa bersalah itu juga merupakan nikmat daripada Allah SWT kepada hambaNya dan ia merupakan satu isyarat yang Allah SWT hantar untuk menjentik hati kita agar kembali kepadaNya. Allah SWT itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang, Dia tidak akan sesekali membiarkan hambaNya terus hanyut kecuali kepada golongan yang telah dijanjikan seksaannya kerana berlaku sombong terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi.” (QS al – Zumar: 54).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan