Home Ajaran Sesat 3 BENTUK PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAH YANG BOLEH DIKENALPASTI DALAM SESUATU AJARAN...

3 BENTUK PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAH YANG BOLEH DIKENALPASTI DALAM SESUATU AJARAN SESAT

3338
0

Perlu ditegaskan bahawa isu ajaran sesat bukanlah suatu isu yang boleh dipandang ringan dan ditangani secara sambil lewa sahaja. Isu ajaran sesat merupakan satu isu yang amat penting kerana ia menyentuh kehidupan dan akidah seseorang Muslim.

Melihat kepada perkembangan ajaran sesat yang semakin banyak bercambah, timbul satu persoalan setakat manakah ajaran sesat boleh memberi kesan kepada keislaman dan keimanan seseorang pengikut dan pengasas ajaran tersebut selain ia memberi ancaman yang cukup besar kepada masyarakat dan negara dari aspek keharmonian masyarakat dan keamanan negara.

Secara dasarnya, bolehlah dirumuskan bahawa ajaran sesat ini adalah merujuk kepada penyelewengan di dalam akidah dan syariah dan terbahagikan kepada tiga bentuk:

i.          Penyelewengan Dalam Bentuk Ajaran Baru iaitu sesuatu amalan yang diperkenalkan yang sama sekali tidak pernah dibawa oleh Rasulullah SAW dan bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Hadis.

Ajaran bentuk ini biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin pada tahun 1995 di Selangor, Ajaran Ayah Pin, Ajaran Kumpulan Wahyu Allah, Ajaran Tuhan Haron dan lain-lain.

ii.         Penyelewengan Dalam Bentuk Tariqat (cara mendekatkan diri kepada Allah) sehingga tidak lagi terikat kepada syariat Islam dan menganggap guru sebagai suci dan menyucikan dosa.

Biasanya menggunakan nama-nama tariqat yang termasyhur melalui guru-gurunya menggunakan bentuk amalan yang berbeza dengan yang asal atau ianya diubahsuai seperti iktikad yang ada pada sebahagian golongan tarekat yang menganggap bahawa sesiapa yang sudah sampai kepada peringkat tertentu dalam amalan atau tarekat yang mereka ikuti maka dia tidak lagi bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, jihad dan sebagainya.

iii.        Penyelewengan Dalam Bentuk Amalan Tradisi yang membawa kepada kesyirikan.

Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap wali, kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang dan bomoh dalam rawatan tradisional, pemujaan kubur atau pembawa ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya seperti mencampur-adukkan akidah Islam dengan akidah Majusi, Nasrani yang melahirlah ajaran berbentuk ‘batiniah’ seperti roh perawat bagi membantu pesakit atau menyelesaikan masalah mereka. Semua amalan yang dilakukan adalah amalan-amalan syirik yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam.

Dalam keadaan tertentu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap golongan yang berdegil dan masih mengamalkan akidah Islam yang menyeleweng. Usaha untuk menjaga keharmonian akidah Islam adalah satu usaha yang perlu di jalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukannya sekadar untuk memenuhi kehendak undang-undang sahaja.

Tidak dapat dinafikan bahawa pengamal–pengamal ajaran sesat boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan kesalahannya. Apa yang lebih penting ialah di dalam undang-undang berkaitan dengan ajaran sesat bagaimana ia boleh digunakan bagi memberi peluang kepada mereka yang telah tersesat kembali ke pangkal jalan. Ia bukan mengutamakan hukuman kepada pesalah tetapi yang lebih mustahak umat Islam tidak terpengaruh dan dipengaruhi oleh ajaran sesat tersebut dan mereka yang telah terlibat akan bertaubat.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Bil 26 (2007), Universiti Malaya.