Home Kemanusiaan/Motivasi BULAN SYAABAN MERUPAKAN BULAN MULIA: BULAN BERKAH MENUJU RAMADAN

BULAN SYAABAN MERUPAKAN BULAN MULIA: BULAN BERKAH MENUJU RAMADAN

106
0

Sebulan sebelum kita menjengah ke bulan yang paling mulia dan dirahmati oleh Allah SWT iaitu Ramadan, kita akan melalui satu bulan yang juga dianggap berkah di sisi Allah SWT iaitu bulan Syaaban. Apakah kebaikan bulan Syaaban ini?

Bulan Syaaban ialah bulan Rasulullah SAW dan berbagai ganjaran tersedia untuk umatnya untuk setiap amalan dibuat bagi persediaan menghadap bulan Ramadan. Bulan ini juga merupakan bulan di mana Baginda SAW menerima banyak anugerah daripada Allah SWT dan Allah SWT memakbulkan doa Baginda untuk menukarkan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram setelah berbulan – bulan Nabi SAW berada di dalam kesedihan ketika menantikan wahyu daripada Allah SWT.

Bukan itu sahaja, di dalam bulan Syaaban juga Rasulullah SAW melakukan segala amalan yang baik dalam meraih keredhaan Allah SWT. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah berpuasa. Banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari R.A melalui Aisyah R.A yang bermaksud:

“Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.” (HR Bukhari).

Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri banyak melakukan amalan berpuasa ketika Syaaban. Selain itu terdapat juga hadis lain iaitu Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa dalam Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW:

‘Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh Rejab dan Ramadan. Ia juga adalah bulan diangkat di dalamnya amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalanku di dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad dan Sunan al-Nasai).

Maka dari itu, sebagai umat Islam kita sangat dituntut untuk melakukan sunnah Rasulullah SAW dengan mengamalkan ibadah yang dijalankan oleh Baginda. Sebaiknya, rebutlah peluang pada bulan Syaaban ini dengan banyak berpuasa sunat sebagai persediaan memasuki bulan Ramadan. Ini secara tidak langsung akan melatih diri menjadikannya kental sekali gus meraih keampunan dan keredhaan Ilahi.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan