Home Ajaran Sesat ‘KERAJAAN LANGIT’ MUNCUL KEMBALI KE BUMI MALAYSIA MENYEBARKAN KESESATAN

‘KERAJAAN LANGIT’ MUNCUL KEMBALI KE BUMI MALAYSIA MENYEBARKAN KESESATAN

229
0

Kesesatan manusia yang berpunca daripada ideologi atau fahaman amatlah sukar untuk dipulihkan kerana ia tertanam dalam keyakinan dan iktikad seseorang. Kesesatan akidah sewajarnya ditangani lebih awal sebelum ia merebak dan menjadi lebih parah. Kebanyakan kes, usaha untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan ajaran sesat amat sukar dan kurang berkesan sekalipun pernah ditempatkan di Pusat Pemulihan Akidah.

Beginilah kesinambungannya kisah ajaran Ayah Pin yang dikatakan kembali aktif menyebarkan ideologi sesatnya. Kali ini, hasil aduan daripada masyarakat di Kampung Batu 13 di Hulu Besut, Terengganu, bukan sahaja ianya tersebar di kawasan tersebut, malah dikatakan berkembang sehingga ke kawasan Jertih (Besut) dan juga di sebelah Pahang terutama di Pekan dan Rompin.

Ideologi Ayah Pin yang juga dikenali sebagai ‘Kerajaan Langit’ telah difatwakan sesat semenjak tahun 1997 lagi. Antara sebab kesesatannya adalah:
i. Mengaku bahawa tidak ada orang lain selain Ayah Pin dan Nabi Muhammad SAW yang berguru dengan Jibril;
ii. Al-Quran perlu dibakar dan abunya dilumur di tubuh Ayah Pin;
iii. Mendakwa tidak ada di muka bumi ini selain Ayah Pin yang memimpin manusia;
iv. Bersyair memuji-muji atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang;
v. Jika ada ahli yang mati, Ayah Pin yang akan pergi dahulu melawatnya untuk menentukan si mati masuk syurga atau neraka; dan lain-lain.

Justeru itu, terdapat banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak supaya tidak mudah terpengaruh dengan bentuk ajaran dan amalan yang bersifat pelik, rahsia, dakwaan-dakwaan yang tidak masuk akal, ganjaran luar biasa dan pengampunan di tangan guru dan lain-lain lagi yang sering dikaitkan dengan ajaran sesat. Berhati-hatilah.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –MAC 2024, Sinar Harian – 18 MAC 2024 dan Jurnal YADIM, Vol. 1(1)