Home Syiah SYIAH MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM YANG BERPEGANG PADA AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH...

SYIAH MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM YANG BERPEGANG PADA AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH KERANA TIDAK BERIMAN DENGAN RUKUN ISLAMNYA

199
0

Rukun Islam ada lima iaitu mengucap dua kalimah shahadah, sembahyang, berpuasa, zakat dan menunaikan haji. Namun, bagi golongan Syiah, rukunnya perlu ada al-Imamah yang juga dikenali sebagai al-Wilayah yang disisi Syiah membawa maksud al-Khilafah iaitu merujuk kepada dua belas wali atau imam sehingga ke hari kiamat. Imamah sama juga dengan nubuwwah (kenabian), adalah suatu jawatan yang ditentukan oleh Allah SWT secara nas daripada Nabi Muhammad SAW. Antara syarat penting bagi seorang imam ialah mesti maksum seperti seorang nabi.

Dengan demikian pemerintah para khulafa al-Rashidin dan pemerintah-pemerintah Islam selepasnya adalah tidak sah dan dianggap perampas hak imam-imam yang mereka senaraikan seramai dua belas imam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Imamah juga dianggap sebagai rukun Islam paling utama yang tidak sah Islam seseorang itu melainkan dengannya. Imam besar Syiah iaitu al-Khomeini dalam kitabnya ‘Kashfu Asrar’ juga menegaskan bahawa Imamah merupakan rukun Islam paling utama mengatasi solat. Golongan Syiah juga mempercayai bahawa imam-imam Syiah mempunyai kedudukan yang tidak dicapai oleh mana-mana malaikat yang hampir dengan Allah SWT dan juga mana-mana nabi yang diutuskan. Imam-imam Syiah juga dianggap lebih afdhal daripada rasul-rasul ulul azmi.

Kesimpulan yang pasti daripada nas-nas yang diriwayatkan dalam hadis-hadis rekaan Syiah ialah pengikut Ahli Sunnah bukan seorang mukmin dan dihukum kafir kerana tidak beriman dengan rukun Islam sepertimana yang diimani oleh Syiah. Berhati-hatilah dengan ideologi Syiah ini kerana asas akidahnya jelas terpesong dari syariat Islam yang sebenar. Justeru itu, Syiah hakikatnya adalah ajaran sesat, bukanlah sebahagian daripada mazhab dalam Islam.

Sumber: Buku Mengenal Hakikat Syiah – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan