Home Kemanusiaan/Motivasi MENCARI MALAM LAILATUL QADAR: MALAM SERIBU RAHMAT, MALAM PENGAMPUNAN

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR: MALAM SERIBU RAHMAT, MALAM PENGAMPUNAN

272
0

Hari ini sudah pun memasuki 21 Ramadan 1445 Hijrah. Ini bermakna hanya berbaki 9 hari sahaja lagi Ramadan akan meninggalkan kita dan bulan Syawal pula mengambil tempatnya. Rasa sedih, sayu dan pilu apabila mengenangkan bulan yang mulia ini akan berlalu meninggalkan kita. Akan tetapi, jangan pula berlarut dalam kesedihan kerana di dalam 10 malam terakhir Ramadan sepatutnya kita berlumba – lumba untuk mencari malam keberkatan iaitu malam lailatul qadar. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS Al – Qard: 1-3).

Ketika tiba 10 malam terakhir, Rasulullah juga menunjukkan kesungguhan yang luar biasa sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah RA, beliau menceritakan:

“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut.” (HR Ibnu Hibban).

Antara amalan – amalan yang boleh diamalkan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah:

1) Melakukan Qiamullail.
2) Berdoa memohon keampunan dan dihapuskan dosa yang lalu.
3) Melakukan iktikaf di masjid.
4) Memperbanyakkan bacaan al – Quran.
5) Berzikir, beristighfar dan berdoa.
6) Memperbanyakkan sedekah.

Jadi, sebagai umat Islam yang bersungguh – sungguh mengharapkan keampunan penuh di dalam bulan Ramadan, maka bersungguh – sungguh lah mencari malam yang Istimewa ini. Kita telah diberitahu mengenai keistimewaan sejak dahulu lagi. Maka ia jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Daripada Aisyah RA berkata:

“Adalah Rasulullah SAW lebih bersungguh – sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) tidak sebagaimana Baginda bersungguh – sungguh pada hari lain – lainnya.” (HR Muslim).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan