Home Kemanusiaan/Motivasi TUNAIKAN ZAKAT FITRAH ZAKAT MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA RUKUN ISLAM YANG WAJIB DITAATI

TUNAIKAN ZAKAT FITRAH ZAKAT MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA RUKUN ISLAM YANG WAJIB DITAATI

141
0

Sudah menjadi ketetapan buat semua umat Islam untuk menunaikan zakat fitrah di bulan Ramadan. Apatah lagi hukumnya wajib untuk dilaksanakan kerana ianya merupakan rukun keempat dalam kelima – lima Rukun Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Islam itu dibina atas lima dasar, persaksian (syahadat) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji (ke Baitullah) dan puasa pada Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Zakat adalah ibadat yang sangat istimewa kerana memainkan peranan yang penting dalam membangun dan memangkin pertumbuhan ekonomi umat Islam serta berupaya meningkatkan martabat ummah. Zakat adalah kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan pelaksanaannya bukanlah kewajipan pengawasan individu, tetapi kewajipan yang dilaksanakan di bawah pengawasan dan pengurusan pemerintah. Allah SWT berfirman:

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa juga yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.” (QS Al – Baqarah: 110).

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Allah SWT memberitahu kita dalam harta dimiliki itu, terdapat bahagian golongan tertentu seperti fakir miskin. Jadi, jelas harta kita bukan untuk dimiliki secara mutlak berseorangan sahaja. Perintah menunaikan zakat juga perlu dilihat antara kaedah Allah memperhatikan hambaNya yang berharta sama ada bakhil ataupun tidak.

Ingatlah kepada pesanan Allah seperti mana terakam dalam Surah az-Zariyat ayat 19, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan pada harta mereka (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

Oleh itu, tunaikanlah zakat fitrah sebagaimana yang dituntut di dalam agama, berdosa jika kita mengabaikannya kerana ia merupakan punca pembersihan rezeki yang selama ini kita hasilkan dan bakti kita dalam menolong sesama saudara seagama.

Sumber: Lembaga Zakat Selangor