Home Kemanusiaan/Motivasi MAJLIS IFTAR MENJADI JAMBATAN UKHWAH, DAKWAH DAN ‘LADANG PAHALA’ BUAT UMAT ISLAM

MAJLIS IFTAR MENJADI JAMBATAN UKHWAH, DAKWAH DAN ‘LADANG PAHALA’ BUAT UMAT ISLAM

52
0

Selain bulan yang berkat dan bulan seribu rahmat, Ramadan juga merupakan mempunyai daya tarikan tersendiri yang bukan sahaja umat Islam yang begitu meraikannya dengan melakukan pelbagai amalan soleh selain ibadah puasa, tetapi dalam waktu sama, ada antara budaya Ramadan yang dianggap mampu ditonjolkan sebagai platform dakwah. Sebagai contoh, majlis iftar yang yang diadakan di satu-satu kawasan tertentu secara terbuka seperti di padang mahupun di persekitaran laman masjid sudah menjadi satu trend yang menarik perhatian banyak pihak.

Majlis iftar sebenarnya sudah memberikan kemudahan kepada musafir tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi. Majlis baik seperti itu seharusnya diterima hati terbuka oleh kita semua memandang iftar secara berjemaah di tempat terbuka berkeupayaan menimbulkan rasa kebersamaan, sekali gus hubungan ukhuwah sesama ummah dapat digerakkan. Sekiranya majlis iftar yang dilangsungkan di kawasan persekitaran laman masjid menjadi satu lagi usaha terbaik dalam mengajak masyarakat Islam mendekati rumah Allah SWT. Ini kerana sebaik sahaja berbuka, semua bersegera ke dalam masjid mencari ruang solat bagi menunaikan ibadah solat Maghrib secara berjemaah. Tidakkah ini strategi dakwah yang berkesan? Sabda Rasulullah SAW:

“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat” (HR Muslim).

Selain itu, majlis iftar juga merupakan asbab kita menuai ‘ladang pahala’ yang banyak. Ini kerana apabila kita berada di majlis iftar atau melakukan majlis iftar, kita berpeluang berkongsi kegembiraan dengan memberi makan kepada orang lain khususnya yang bermusafir. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (HR At – Tirmidzi).

Hakikatnya, tidak susah untuk kita meraih pahala hasil dari usaha yang kita lakukan. Di samping menuai pahala kerana berkongsi, secara tidak langsung kita juga menuai pahala kerana menyambung jambatan ukhwah serta melakukan dakwah. Ingatlah peringatan Allah SWT yang menekankan kepentingan melakukan kebaikan kepada orang ramai setelah dinyatakan keperluan untuk beribadah dan mentauhidkan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (QS An – Nisa: 36).

Majlis iftar terbuka itu sebenarnya mempunyai banyak natijah yang positif dalam memupuk hubungan ukhuwah sesama ummah dan turut menjadi jambatan yang menghubung antara masyarakat Islam dengan mereka yang bukan Islam dalam satu aktiviti sosial. Jelas sekali bahawa majlis iftar terbuka tidak harus dilihat sebagai acara main-main sahaja untuk berseronok, tetapi di sebaliknya terkandung banyak hikmah positif iaitu sebagai jambatan ukhuwah dan wadah dakwah.

Sumber: Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)