Home Ajaran Sesat JANGAN MUDAH PERCAYA DENGAN PERKARA LUAR BIASA, SEBALIKNYA SELIDIK DAHULU KEBENARANNYA

JANGAN MUDAH PERCAYA DENGAN PERKARA LUAR BIASA, SEBALIKNYA SELIDIK DAHULU KEBENARANNYA

270
0

Modenisasi dunia seharusnya meningkatkan ketamadunan manusia dari segala aspek termasuklah ilmu keagamaan. Jaringan komunikasi di seluruh dunia memudahkan urusan untuk menggapai ilmu dengan para ilmuwan dan ulama walau di mana sahaja berada. Penipuan mudah dirungkaikan, kekusutan mudah disahihkan, namun mengapa masih ramai yang mudah terjerumus dengan ajaran karut dengan hanya satu kenyataan?

Sebagai contoh, di Indonesia terdapat seorang lelaki yang dianggap sebagai Imam di sebuah kampung telah mendakwa bahawa beliau telah menelefon Allah SWT untuk mengetahui tarikh hari raya. Lantas itu, Imam ini yang dianggap sebagai seorang yang luar biasa telah menyebabkan pengikutnya mempercayainya dan telah menyambut satu Syawal serta solat Aidilfitri pada 5 April 2024 yang lalu kononnya setelah mendapat utusan daripada Allah SWT.

Perkara ini memperlihatkan bahawa begitu mudahnya umat Islam kini terpengaruh dengan kepercayaan karut hanya kerana percaya dakwaan seseorang itu mempunyai kuasa luar biasa. Sedangkan, sesuatu yang luar biasa itu kadangnya bukanlah ‘trend’ yang diikuti membuta tuli. Seharusnya modenisasi dimanfaatkan bagi memudahkan cara untuk selidik terlebih dahulu sesuatu kebenaran, lebih-lebih lagi apabila terkait soal akidah. Kelak ia membawa kesesatan dan lebih jauh dari kebenaran agama Islam. Nauzubillahiminzalik.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – APR 2024 dan Kosmo Digital – 6 APR 2024