Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM TIDAK MENGHALALKAN PERBUATAN MEMBUNUH MANUSIA TANPA ALASAN YANG BENAR

ISLAM TIDAK MENGHALALKAN PERBUATAN MEMBUNUH MANUSIA TANPA ALASAN YANG BENAR

1357
0

Perbuatan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah perbuatan diharamkan Islam. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (QS al-An’am: 151).

Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam. Apatah lagi jika insan yang menjadi mangsa bunuh diperlakukan sedemikian tatkala sedang menjalankan tugas untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Pada dasarnya tidak ada satu pun agama di dunia ini yang menghalalkan pembunuhan, sebab tujuan agama adalah untuk perdamaian, menyebarkan kasih sayang, dan mengatur tatanan sosial agar lebih baik.

Namun, ada kalanya manusia mudah hilang pertimbangan hingga melakukan sesuatu di luar batas norma kehidupan. Apabila nafsu dan amarah sudah merajai diri hingga tidak boleh berfikir secara waras, maka banyak kes-kes pembunuhan yang terjadi. Akibatnya, nyawa tidak berdosa harus menjadi taruhan. Firman Allah SWT:

“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.” (QS al-Maidah: 32)

Nampak kan betapa besarnya dosa membunuh? Ini kerana Allah telah menyatakan bahawa membunuh satu nyawa manusia impaknya seakan membunuh kesemua nyawa manusia di muka bumi. Ini kerana setiap nyawa yang dibunuh itu pasti mempunyai keluarga, keturunan dan ia merupakan anggota dari masyarakat dan secara tidak langsung akan menyakiti keluarga dan masyarakat di sekelilingnya.

Oleh itu, tiada jalan lain bagi si pelaku pembunuhan itu melainkan bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Jika dosa syirik tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT, dosa membunuh pula tidak akan terampun melainkan dengan taubat. Kerana, dalam Islam dosa membunuh adalah salah satu daripada dosa besar yang ditetapkan Allah SWT.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya: “Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (HR Muslim)

Sumber: Harian Metro “Hukuman qisas” (18 Februari 2019)