Kemunculan kumpulan atau fahaman ekstremis, radikal atau pelampau ini tidak hanya berlaku dari sudut fizikal sahaja iaitu golongan yang hanya mengenal senjata, pemberontakan atau revolusi sebagai solusi kepada masalah tertentu. Di samping itu juga, sikap ekstremisime atau radikalisme ini turut berlaku dalam bentuk kefahaman, kepercayaan dan pegangan.
Namun, kedua-dua elemen, iaitu kefahaman dan tindakan ini boleh berlaku secara berkadar langsung iaitu, tindakan seseorang itu boleh terjadi akibat daripada kesalahfahaman terhadap sesuatu nas atau dalil menyebabkan tindakannya itu sebenarnya bertentangan dengan kehendak nas. Perkara ini dapat kita lihat apabila lahirnya kelompok tertentu yang bertindak tanpa memahami kehendak nas.
Firman Allah SWT:
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (QS al-Maidah: 77)
Oleh itu, amatlah wajar bagi kita sebagai umat Islam untuk sentiasa menghindarkan diri daripada ideologi puak-puak pelampau agar diri kita tidak terjerumus dengan fahaman yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Agama Islam sangat menitikberatkan perpaduan dan kedamaian dalam hubungan semua kaum.
Perpaduan kaum adalah elemen penting untuk membasmi gejala ekstremis di negara ini. Ekstremis berkembang akibat daripada tanggapan negatif terhadap kaum serta agama yang berbeza. Rakyat mempunyai kekuatan untuk menafikan tanggapan ini. Fenomena kemajmukan antara kaum di negara ini perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk mencorak masa hadapan peradaban manusia. Tambahan pula, agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk mengkaji dan menelaah secara mendalam segala bentuk pendapat, ijtihad dan pandangan seseorang yang berkhilaf dengan pendapat kita.
Sabda Rasulullah SAW:
“Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.” (HR Ibn Hibban: 3871)
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)