Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH ADAB KETIKA BERHARI RAYA -KETAHUI 10 ADAB KETIKA ZIARAH AIDILFITRI

JAGALAH ADAB KETIKA BERHARI RAYA -KETAHUI 10 ADAB KETIKA ZIARAH AIDILFITRI

70
0

Walaupun ketika ini kita sudah berada di pertengahan Syawal, namun tradisi berhari raya tetap diteruskan selama mana ia belum cukup sebulan. Masih ada lagi individu – individu yang menganjurkan rumah terbuka dan masih lagi ada yang mengamalkan tradisi berziarah di hari raya. Islam menggalakkan umatnya agar berkasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka, antara cara untuk merapatkan lagi kasih sayang sempena Syawal ini adalah dengan ziarah menziarahi. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut sakit.” (HR Muslim).

Namun begitu, dalam kita berhari raya ataupun melakukan ziarah raya, kita seharusnya menjaga adab dan tatasulila sebagai umat Islam ketika berkunjung ke rumah untuk berhari raya. Dalam kita sibuk menziarahi, Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi supaya kunjungan tersebut mendapat pahala dan tidak menjadi dosa. Sebelum berziarah ke rumah sanak saudara mahupun jiran tetangga, ketahui 10 adab yang perlu kita lakukan:

1) Ikhlaskan diri kerana Allah SWT. Niatkan di dalam hati dalam berziarah ini kerana Allah SWT demi untuk memulihkan hubungan yang renggang dan mengeratkan silaturahim.

2) Meminta izin untuk hadir dan memberikan salam sebelum masuk ke dalam rumah.

3) Tidak menghendap ataupun mengintip. Kita tidak dibenarkan untuk mengintip di jendela untuk memeriksa sama ada tuan rumah berada di dalam rumah atau tidak.

4) Tidak sibuk dengan barang perhiasan tuan rumah.

5) Menjaga mata. Tidak melihat secara liar dengan mengintai dapur ataupun bilik tidur supaya tidak tersingkap aurat tuan rumah yang berkemungkinan tidak sempurna.

6) Duduk hanya di tempat yang dikhaskan.

7) Menjaga anak yang dibawa bersama. Berpesan kepada anak-anak sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah adalah dianjurkan supaya mereka dapat menjaga kelakuan.

8) Membawa buah tangan. Ini bukanlah satu kemestian tetapi atas tanda penghargaan, maka bolehlah membawa sedikit buah tangan ataupun memberi duit raya kepada kanak-kanak.

9) Tidak berlama – lamaan. Kita mestilah mengetahui ziarah bermaksud sebentar sahaja dan bukanlah sehingga menyulitkan tuan rumah untuk menyediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam untuk kita.

10) Mengucapkan syukur dan berterima kasih. Ucaplah terima kasih dengan senyuman yang manis kepada tuan rumah yang sanggup menerima kita sebagai tetamu. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” (HR Abu Daud).

Oleh itu, ambillah peluang ketika Aidilfitri ini untuk kunjung-mengunjung kenalan dan sanak saudara kerana ia akan mengeratkan silaturahim sekali gus dapat bermaaf-maafan kerana ia perkara amat dituntut agama. Namun, jangan sampai dalam kita berziarah, kita lupa untuk menjaga adab dan tatasusila demi menjaga keharmonian hubungan bermasyarakat.

Sumber: Dr. Nur Muhammad Hadi Zahalan, Fakulti Syariah dan Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)