Home Kemanusiaan/Motivasi HIDUPLAH SECARA BERMUAFAKAT DAN HARMONI AGAR NEGARA MENJADI SELAMAT

HIDUPLAH SECARA BERMUAFAKAT DAN HARMONI AGAR NEGARA MENJADI SELAMAT

443
0

Masyarakat Malaysia antara masyarakat dunia yang sangat bertuah kerana hidup di dalam berbilang kaum, bangsa dan agama serta saling bertoleransi di antara satu sama lain. Rakyat negara ini juga boleh dikatakan sangat bertuah kerana undang – undang di negara ini tidak melarang perkahwinan campur di antara kaum. Namun, bagi agama Islam sekiranya berlakunya perkahwinan campur mestilah mendahulukan undang – undang agama Islam di dalam semua hal.

Namun, bukanlah urusan perkahwinan campur yang hendak diutarakan, sebaliknya hidup dalam pencampuran di antara dua agama, kaum dan budaya secara muafakat adalah perkara yang perlu diberi perhatian di dalam artikel ini. Di dalam laporan artikel Harian Metro, 28 September 2023 yang bertajuk ‘Kami tetap bahagia’, menceritakan bagaimana keluarga Puan Norhaslinda Ishak yang berkahwin dengan seorang mualaf berbangsa Cina dan hidup harmoni bersama keluarga mertuanya dan menguruskan mereka meskipun berlainan pegangan agama.

Apa yang hendak diutamakan di sini adalah bagaimana kita mampu untuk hidup secara bermuafakat dan harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama dan itulah apa yang membuatkan Malaysia sangat unik di mata masyarakat dunia. Islam amat menggalakkan umatnya untuk hidup saling bermuafakat dalam masyarakat bagi menjamin keamanan, kedamaian dan kesejahteraan hidup. Tanpa muafakat tidak mungkin perpaduan dan keselamatan dapat dinikmati. Allah SWT tidak melarang orang Islam mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam. Tidak menjadi kesalahan mengadakan hubungan dengan bukan Islam dan keharusan itu meliputi semua kafir dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umatnya. Nabi SAW memandang berat terhadap mereka yang menyakiti kafir zimmi. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada hari Kiamat.” (HR Abu Daud).

Sememangnya, ajaran dan amalan Islam yang berlegar dalam kalangan masyarakat Islam menjadi asas pembudayaan nilai muafakat dalam masyarakat. Namun, tahapnya mungkin berbeza daripada longgar kepada padu atau mungkin masih perlu disuburkan lagi. Apa yang pasti, amalan muafakat perlu dilakukan dalam kehidupan seharian. Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan serta perjuangan Baginda.

Atas asas toleransi inilah tamadun Islam berkembang. Orang bukan Islam dalam sejarah mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis terhadap orang lain bahkan memberi ruang cukup luas kepada bukan Islam bersama menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia. Begitulah toleransi yang dituntut tanpa kompromi berkaitan akidah dan kepercayaan. Setiap muslim wajib beriman kepada rasul di samping keimanan tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.

Maka dari itu, marilah kita hidup secara bermuafakat dan harmoni bagi menjamin negara aman, selamat dan sejahtera. Firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (QS Al – Maidah: 2).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)