Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain itu adalah perbuatan yang terpuji dan disukai oleh Allah SWT. Bahkan Allah SWT akan mengangkat lagi darjat seseorang itu apabila memaafkan orang lain. Firman Allah SWT:
“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (QS Al – A’raf: 199).
Akan tetapi, bagaimana sekiranya seseorang itu memaafkan dengan bersyarat? Sebagai contoh memaafkan sambil meminta persyaratan supaya orang yang ingin dimaafkan itu melutut? Mengikut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah, perbuatan itu adalah dilarang dalam Islam kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT ke atas hamba-Nya apabila semua manusia dibangkitkan pada hari akhirat. Tambah beliau, secara asasnya perbuatan saling bermaafan antara satu sama lain mestilah dilakukan dalam kerangka harmoni dan mendamaikan tanpa perlu menyakiti hati dan menghina mana-mana pihak. Sebarang nasihat dan teguran juga boleh dilakukan secara tegas dan berhemah tanpa perlu memalukan pihak-pihak tertentu.
Jika diikutkan perbuatan maaf yang sebenar adalah dengan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati adalah dibenarkan, selagi mana ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga menyerupai perbuatan menyembah sesuatu selain daripada Allah SWT.
Dalam syariat Islam, perbuatan melutut yang membawa maksud pengabdian dan penyembahan kepada Allah SWT terhasil menerusi pergerakan dalam solat seperti rukuk, sujud, iftirasy (duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa. Dengan perkataan yang lain, perbuatan ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT sahaja. Bahkan setiap manusia akan melutut apabila dihimpunkan di hadapan-Nya pada hari akhirat.
Sehubungan itu, perbuatan memaksa orang untuk meminta maaf dalam keadaan melutut dan menundukkan badan atau kepala adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan sesama manusia. Perbuatan sedemikian juga mencerminkan satu penghinaan terhadap si pemohon maaf dalam masa yang sama boleh menjatuhkan maruahnya.
Jadilah seorang yang pemaaf dengan ikhlas kerana Allah SWT memandang kita dengan penuh rasa kasih dan sayang sekiranya kita bersikap ikhlas dalam memaafkan seseorang. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (HR Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan