Home Kemanusiaan/Motivasi INSIDEN SERANGAN BALAI POLIS ULU TIRAM- SIKAP GHULUW SANGAT DIBENCI OLEH ALLAH...

INSIDEN SERANGAN BALAI POLIS ULU TIRAM- SIKAP GHULUW SANGAT DIBENCI OLEH ALLAH SWT

319
0

Insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mengundang pilu seluruh rakyat Malaysia. Manakan tidak, insiden tersebut telah mengorbankan nyawa dua anggota polis yang sedang bertugas dan suspek juga telah ditembak mati dan ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga nyawa yang terkorban. Difahamkan, penyerang berusia 34 tahun itu merupakan seorang yang begitu obses dengan ilmu dan kefahaman yang salah tentang konsep perjuangan Islam.

Hal tersebut memicu keresahan rakyat negara ini tentang kawalan keselamatan yang perlu dipertingkatkan dan usaha kerajaan untuk membasmi semua jenis fahaman dan kumpulan ekstremis di dalam negara ini daripada membiak dan mempengaruhi minda dan jiwa masyarakat Malaysia. Hal ini juga dikaitkan dengan sikap ghuluw (melampau) dalam diri sesetengah pihak yang kononnya berjuang atas nama agama Islam. Walhal, apa yang diperjuangkan selama ini adalah tidak betul dan sama sekali menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Bukankah kita sudah diajarkan agar tidak sesekali melampaui batas dalam sesuatu tindakan? Bahkan Rasulullah SAW turut mengancam golongan pelampau ini dalam sebuah hadis. Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda sebanyak tiga kali:

“Musnahlah golongan yang melampau.” (HR Muslim).

Golongan ekstremis atau radikal ini, merupakan ancaman yang agak besar khususnya bagi umat Islam. Kemunculan kefahaman atau kumpulan yang lahir akibat dari pengamalan ekstremis ini dapat menjauhkan atau menunjukkan kesalahfahaman masyarakat bukan Islam ataupun mereka yang baru untuk mendekati Islam, akhirnya jauh dari kefahaman yang sebenarnya.

Tiada istilah saling berbunuhan dalam perjuangan Islam yang sebenar. Apa yang dicanangkan selama ini hanyalah retorik mereka dalam cubaan untuk memprovokasi masyarakat agar membenci di antara satu sama lain. Sedangkan Allah SWT sendiri mahukan semua umat Islam bersatu dengan rukun dan damai di muka bumi ini. Ingat buat para pelampau agama, tindakan anda semua bukan sahaja mendatangkan keresahan kepada rakyat, malah anda semua telah membangkitkan kemurkaan Allah SWT dengan dakyah perjuangan agama yang penuh dengan kepura -puraan demi kepuasan diri sendiri. Sabda Rasulullah SAW:

“Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.” (HR Ibnu Hibban).

Buat keluarga kedua almarhum anggota polis yang terlibat, salam takziah diucapkan. Semoga roh almarhum keduanya diterima di sisi Allah SWT dan diletakkan bersama para solehin. Al – fatihah (dibaca).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan