Menurut sarjana Islam, ateisme bukan sahaja menolak kewujudan Tuhan serta agama, malah ateis juga bermaksud mereka yang mengingkari serta mendustakan kewujudan Allah SWT atau disebut sebagai kufur, murtad atau tidak beragama. Hal ini kerana kewujudan dan keesaan Allah SWT itu merupakan suatu kepastian.
Apabila disorot kisah seorang transgender yang baru-baru ini bangga mengkhabarkan kepada dunia bahawa dia berada di Mekah menunaikan umrah dengan imej yang bertentangan dengan fitrahnya. Sememangnya golongan seperti ini ingin menegakkan bahawa perkara itu adalah hak kebebasan seorang individu yang perlu semua orang tidak sepatutnya pertikai kononnya atas sebab mengikut trend dan diterima oleh majoriti masyarakat dunia terutamanya masyarakat Barat.
Pada masa yang sama, disebalik perbuatannya itu juga telah mengundang pelbagai reaksi dan membuka ruang kepada musuh Islam untuk menaburkan fitnah terhadap agama Islam secara umumnya dan secara khususnya mempertikaikan kewujudan Allah SWT. Sebagaimana status yang dikeluarkan oleh seorang pengguna laman Facebook Juli Jalaludin menyatakan:
“Transwomen pergi Mekah sebagai perempuan, transman pergi Mekah pakai ihram sebagai lelaki, Allah tak panah petir pun. Manusia yang lebih-lebih panas bontot. Samada Allah tak power, atau Allah tak kesah sebab Allah pun sokong LGBT, atau Allah memang tak wujud langsung. Korang dah kena tipu dengan pak Arab kot”
Perkara ini membuktikan bahawa gejala ateisme khususnya dalam kalangan Melayu Islam kini berada pada tahap membimbangkan. Sememangnya diketahui bahawa perkembangan pesat ateisme ini sudah tentu dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman dan luaran, namun hakikat yang menyakitkan adalah terlibatnya golongan anak muda Islam dalam pemikiran sesat sebegini. Pada anak muda yang diharapkan untuk mempertahankan bangsa agama dan negara tetapi mereka sangat rapuh dari segi iman dan akidah serta terlalu mudah terpedaya dengan ancaman musuh Islam. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor