Home Ektremisme/radikalisme 3R TUNGGAK UTAMA PERPADUAN DAN KEHARMONIAN MASYARAKAT BERBILANG KAUM

3R TUNGGAK UTAMA PERPADUAN DAN KEHARMONIAN MASYARAKAT BERBILANG KAUM

205
0

Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malayasia merupakan identiti unik yang dimiliki Malaysia sejak kemerdekaan. Namun begitu, usaha untuk mengekalkan keharmonian ini sudah tentunya berhadapan dengan pelbagai cabaran seiring dengan perkembangan modernisme minda dan teknologi. 3R berkisar tentang agama, bangsa dan Institusi Raja menjadi tunggak paling utama dalam memastikan perpaduan dan kesejahteraan dalam masyarkat pelbagai kaum terus utuh dan terhindar dari konflik.

Istilah 3R dibentuk dengan mengambil huruf awalan daripada perkataan Bahasa Inggeris religion, race dan royalty. Perkara yang bersangkut paut dengan agama, bangsa dan Institusi Raja (3R) adalah hal yang sangat dekat dengan rakyat dan sentiasa mendapat perhatian ramai. Oleh sebab itu, sekiranya terdapat sebarang provokasi berkaitan 3R, maka ia tidak boleh dipandang remeh kerana berisiko untuk mencetuskan kesan negatif dalam kalangan masyarakat. Misalnya, baru-baru ini berlakunya provokasi di ruang media sosial terhadap Institusi Raja, pencerobohan di Istana Negara, penghinaan terhadap agama Islam berleluasa dan sebagainya.

Meskipun rakyat Malaysia mempunyai ruang dan hak untuk bersuara, namun tatkala berbicara soal 3R ada batasnya. Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap pihak-pihak yang menyalahgunakan isu-isu tersebut. Undang-undang dan peraturan wujud bagi mengelakkan kesan konflik yang negatif seperti permusuhan, kebencian, stereotaip negatif, pergaduhan dan keganasan disamping memelihara dan memastikan perpaduan dan keadilan dapat dilaksanakan. Memandangkan masyarakat semakin lantang ‘berkata-kata’ dan menyentuh isu 3R tanpa batas terutamanya di media sosial, maka adalah perlu peruntukan undang-undang sedia ada dikaji semula dan ditambah baik bagi menangani isu 3R. Tujuannya bukan untuk menakutkan mana-mana pihak, namun demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Sumber: Journal of Law & Governance, Vol. 5(1) –Universiti Melaka dan Kertas E-Prosiding Seminar Hukum Islam Semasa (SHIS) X – Universiti Malaya