Home Kemanusiaan/Motivasi RESIT PESANAN PIZA ADA AYAT HINA ISLAMPERTAHANKANLAH MARTABAT ISLAM DENGAN SEBAIK MUNGKIN

RESIT PESANAN PIZA ADA AYAT HINA ISLAMPERTAHANKANLAH MARTABAT ISLAM DENGAN SEBAIK MUNGKIN

47
0

Ini bukanlah artikel yang pertama dikeluarkan berkenaan pentingnya untuk menjaga martabat Islam. Akan tetapi di akhir zaman ini, semakin hari perlakuan menghina Islam semakin melampaui batas dan tiada tindakan yang dikenakan melainkan kertas siasatan dibuka dan permohonan maaf dilakukan. Memang di dalam Islam memaafkan itu satu perbuatan mulia dan disukai oleh Allah SWT seperti dalam firmanNya yang bermaksud:

“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil.” (QS Al – A’raf: 199).

Akan tetapi apabila di dalam hal ini, wajarkah dilupakan dengan hanya sekadar permohonan maaf?! Alunan suara azan disamakan dengan sesuatu bunyi seperti orang sedang melakukan persetubuhan di dalam pesanan pizza? Adakah kita mampu bersabar lagi dengan perkara seperti itu?! Sudah cukuplah selama ini kita beralah dan bersabar. Artikel ini tidak bermaksud untuk mencetuskan api persengketaan sesama manusia, tetapi dalam hal ini kita sebagai umat Islam wajar bertindak tegas dan memilih untuk mendahulukan kedaulatan agama Islam berbanding dari apa di sekelilingnya.

Setiap ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk semua umat manusia menerimanya. Hal ini membuktikan syariat atau pelaksanaan tuntutan agama Islam semuanya bersesuaian dengan kehidupan manusia seperti mana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi dakwahnya. Maka Islam yang sampai kepada manusia pada hari ini adalah agama sama seperti mana disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ia mengandungi ketetapan yang sangat jelas berdasarkan sumber paling berautoriti iaitu al-Quran dan sunah dan kedua-dua sumber ini tidak pernah berubah sama sekali dari dahulu hingga selamanya.

Ketinggian ajaran dan martabat Islam perlu sentiasa dipelihara oleh setiap umatnya. Bukan sahaja dengan memelihara setiap tingkah laku, malah turut melibatkan hal seperti mengulas sesuatu perkara yang boleh mencalarkan nama baik Islam. Buat para pihak berkuasa dan seangkatan dengannya, bertegaslah di dalam isu agama Islam. Jangan hanya sekadar membuka kertas siasatan sebagai syarat ada pergerakan lalu senyap begitu sahaja.

Hayatilah petikan dialog dari filem Sheriff:

“Kau hari – hari pakai uniform, ada logo kat dada kau, ada Allah, ada Muhammad, kau tak malu ke?”

Begitu juga dengan kita sebagai umat Islam yang lain, tidak malukah kita mengaku Islam sedangkan perkara sebesar ini kita pandang sebelah mata? Hati – hati wahai saudara seagama, Allah SWT sentiasa memerhati perilaku dan tindakan kita ke atas agama Islam. Pilihan di tangan kita. Agama kita, kitalah yang sepatutnya membela dan menjaganya sebaik mungkin. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah (akan) menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan (Allah) meneguhkan kedudukan kamu.” (QS Muhammad: 7).

Sumber: Jabatan Mufti Perlis