Home Kemanusiaan/Motivasi PENDOSA MAKSIAT DIJULANG SEBAGAI IDOLA DI PLATFORM MEDIA SOSIAL : JANGAN MENORMALISASIKAN...

PENDOSA MAKSIAT DIJULANG SEBAGAI IDOLA DI PLATFORM MEDIA SOSIAL : JANGAN MENORMALISASIKAN BUDAYA PERSUNDALAN DI KALANGAN UMAT ISLAM

287
0

Heboh di semua platform media sosial berkenaan sebuah podcast tempatan yang menjemput seorang lelaki ‘gigolo’ yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ untuk satu sesi bual bicara. Lelaki ini menjadi terkenal selepas kesnya tular di semua media tempatan akibat pertuduhan merakam dan menjual video lucahnya bersama dengan 20 orang wanita di aplikasi X. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak podcast berkenaan, mereka tidak menyokong mana – mana aktiviti yang berunsurkan maksiat dan jemputan itu atas dasar untuk mewujudkan kesedaran ataupun ‘create awareness’.

Persoalannya adalah ‘create awareness’ dari sudut apa? Individu yang dijemput itu sudah pun menghadapi pertuduhan di atas kesalahan jenayahnya dan sedang menunggu hari untuk perbicaraan selanjutnya. Persoalan kedua, adakah wajar untuk menjadikannya sesuatu yang patut dicontohi? Hal ini juga mendapat perhatian daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang begitu kesal dengan hal seperti berikut kerana dianggap sebagai satu cara mempromosikan serta menormalisasikan persundalan.

Sudah terang lagi bersuluh dengan apa yang diajarkan di dalam agama Islam bagaimana untuk umatnya tidak terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan, bahkan untuk tidak menghampirinya seperti firman Allah SWT dalam surah al – Isra’, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Jelaslah maksud “jangan mendekati” dalam al-Quran menunjukkan bahawa semua saranan yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil. Dapat dilihat di sini bagaimana masyarakat kita khususnya umat Islam sedang cuba dicucuk dengan anasir – anasir liberal seperti perleluasaan terhadap maksiat persundalan di atas nama hak kebebasan hidup. Ini jelas sekali bertentangan dengan syariat Islamiah yang mahukan kita sama ada lelaki dan perempuan untuk menutup aurat kita dari pandangan ajnabi.

Dalam perkara ini, pihak podcast terbabit boleh sahaja mencari solusi seperti menjemput pakar agama, pakar Kesihatan, kaunselor dan sebagainya untuk mewujudkan kesedaran tentang bahayanya zina di kalangan masyarakat yang semakin menular. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan untuk berhati – hati dalam ‘mengidolakan’ seseorang di media sosial. Ramai lagi individu yang boleh dijadikan contoh terbaik dan boleh dijadikan panduan dalam hidup kita di masa akan datang.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)