Home Kemanusiaan/Motivasi ISU “BLACKOUT 2024”: MEMBOIKOT JANGAN SAMPAI MENGANCAM, MEMBELA JANGAN SAMPAI MEMBUANG AGAMA!

ISU “BLACKOUT 2024”: MEMBOIKOT JANGAN SAMPAI MENGANCAM, MEMBELA JANGAN SAMPAI MEMBUANG AGAMA!

186
0

Mutakhir ini, satu gerakan yang dinamakan “Blackout 2024” dicetus oleh masyarakat awam Amerika Syarikat bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada para selebriti yang tidak menggunakan pengaruh mereka untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan Isr43l untuk menghentikan serangan ke atas P4l3st!n. Dalam tindakan ini, para selebriti berkenaan akan disekat di setiap platform media sosial dan hasilnya kebanyakan selebriti dunia ini kehilangan berjuta – juta pengikut hanya dalam masa satu hari.

Tindakan ini mendapat perhatian daripada kalangan netizen di Malaysia yang rata – ratanya menyatakan sokongan untuk melakukan tindakan yang sama kepada sebahagian selebriti di negara ini. Sehinggakan ada yang mengeluarkan senarai nama selebriti yang patut disekat di semua platform media sosial kerana tidak menggunakan pengaruh mereka untuk menyatakan suara dalam mempertahankan P4l3st!n.

Mempertahankan saudara kita di bumi P4l3st!n itu sudah menjadi kewajipan buat semua umat Islam di dunia ini. Cuma apa yang boleh ditekankan, janganlah sehingga melampaui batas seperti mana dakwaan seorang selebriti yang mengatakan ada cubaan mengugut untuk mencederakan keluarganya. Jika kita ingin memboikot, boikotlah secara sihat dan bukannya dengan cara ancaman yang melampau seperti ini. Bukankah Islam mengajarkan kita supaya tidak melampaui batas dalam melakukan sesuatu perkara atas nama agama? Firman Allah SWT:

“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (QS Al – Maidah: 77).

Walaupun ayat itu ditujukan kepada para ahli kitab, namun ianya adalah teguran secara keseluruhan kepada semua umat Islam agar tidak melebihi batas walaupun pada dasarnya berjuang atas nama agama Islam. Buat para golongan selebriti khususnya yang beragama Islam, tidak salah sekiranya kamu sudah terikat perjanjian dengan jenama berkenaan, mungkin kamu sudah menandatanganinya sebelum perang genosid antara Isr43l dan P4l3st!n bermula.

Namun, jangan sesekali menegakkan benang yang basah dalam mempertahankan hak kamu dan menidakkan hak saudara seagama kamu untuk mencapai keamanan di dalam hidup mereka. Jangan kerana harga periuk nasi yang tidak seberapa itu, maka kamu diam seribu bahasa. Tidak ada salahnya kamu melontarkan suara kamu sebagai pempengaruh di industri hiburan ini untuk membantu saudara seagama kita di sana. Jangan hanya diam dan berpeluk tubuh ataupun dengan sengaja cuba memprovokasi keadaan yang sedang panas. Bantulah, gunakanlah pengaruh kamu sebagai selebriti untuk menyuarakan suara rakyat. Jangan takut dengan ancaman rezeki akan disekat sekiranya bersuara untuk P4l3st!n kerana itu adalah kuasa Allah SWT.

Ingat, memboikot jangan sampai mengancam, membela jangan sampai membuang agama!

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan