Home Hizbut Tahrir HIZBUT TAHRIR – PERTUBUHAN YANG DIFATWAKAN SESAT DAN MEMPROMOSI KEGANASAN PERLU DIHARAMKAN...

HIZBUT TAHRIR – PERTUBUHAN YANG DIFATWAKAN SESAT DAN MEMPROMOSI KEGANASAN PERLU DIHARAMKAN SECARA TOTAL

740
0

Hizbut Tahrir merupakan sebuah pertubuhan yang mendakwa sebagai parti politik Islam yang berjuang untuk mengwujudkan sebuah pemerintahan Khilafah Islamiyah di dunia ini. Gerakan Hizbut Tahrir yang mendakwa memperjuangkan politik Islam (tetapi menolak sistem demokrasi secara total) ini telah tersebar ke pelbagai negara di dunia termasuklah di Malaysia.

Menurut Artikel 56, Draf Perlembagaan pergerakan Hizbut Tahrir, selain kandungannya menyeru supaya menolak sistem demokrasi secara total, mereka juga mewajibkan semua umat Islam yang mempunyai anak lelaki berusia 15 tahun ke atas untuk mengikuti latihan bersenjata sebagai satu daripada ‘fardu kifayah’.

Perkara ini memberi gambaran yang jelas berhubung dengan cita-cita mereka yang bersiap untuk mengambil alih kepimpinan dunia melalui cara kekerasan, meskipun mereka mendakwa gerakan Hizbut Tahrir bukanlah gerakan yang melakukan tindakan keganasan. Jika gerakan Hizbut Tahrir ini dibiarkan terus berkembang di negara ini, adalah dikhuatiri ia akan menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan negara ini, seperti juga ancaman kumpulan militan lain yang berlaku sebelum ini. Sepatutnya takala gerakan Hizbut Tahrir masih belum berjaya mempengaruhi ramai umat Islam di negara ini, seluruh negeri di Malaysia perlu mengambil langkah yang tegas untuk mengharamkan pertubuhan ini sebelum ia menjadi ancaman keselamatan yang sukar untuk dibendung.

Sikap berlembut pihak keselamatan sebelum ini disebabkan, mungkin mereka masih melihat pergerakan Hizbut Tahrir masih belum menimbulkan sebarang ancaman keselamatan kerana tiada tindakan ganas yang menyalahi undang-undang yang diambil oleh kumpulan tersebut. Walau bagaimana pun, berdasarkan matlamat dan jalan yang diyakini untuk memperjuangkan Khilafah Islam ini, pergerakan Hizbut Tahrir dilihat sama seperti kumpulan militan atau teroris yang lain yang sangat berkemungkinan untuk mempromosi dan melakukan keganasan yang boleh menimbulkan ancaman keselamatan di masa akan datang jika gerakan ini sudah berkembang.

Jika kita melihat kepada beberapa individu yang terbabit dengan insiden keganasan di Indonesia umpamanya, sebenarnya sebahagian mereka adalah daripada kumpulan Hizbut Tahrir. Selain itu, apa yang perlu ditekankan lagi mengenai gerakan Hizbut Tahrir ini adalah mengenai mereka fahaman mereka yang difatwakan sesat oleh ulama terkenal di seluruh dunia termasuk di negara ini kerana menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Umpamanya dalam hal berhubung dengan masalah fiqih, mereka membenarkan sesuatu amalan yang pelik dan bercanggah dengan ajaran ASWJ seperti harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud zina. Selain itu, mereka menolak sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan secara tidak langsung tidak mengiktiraf pemimpin Islam di negara ini dan negara Islam lain di dunia ini.

Oleh itu, mengapa Malaysia masih lagi memandang ringan pertubuhan Hizbut Tahrir ini? Sedangkan secara terus terang mereka ini sudah menyalahi norma kehidupan masyarakat, penyelewengan dalam hal akidah dan ibadah malah sangat berpotensi untuk melakukan promosi dan aksi keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Sumber: Jurnal Epistemé, Vol. 12, No. 1, Jun 2017 dan My Metro, 4 Oktober 2020.