Home Kemanusiaan/Motivasi KETAHUI FADHILAT DALAM MELAKUKAN IBADAH KORBAN BUAT UMAT ISLAM

KETAHUI FADHILAT DALAM MELAKUKAN IBADAH KORBAN BUAT UMAT ISLAM

80
0

Dalam masa seminggu ini, umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidiladha atau lebih mudah disebut sebagai Hari Raya Korban. Hari di mana umat Islam akan melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih lembu ataupun kambing.

Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahin AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR At – Tirmidzi).

Antara fadhilat yang boleh didapati apabila melakukan ibadah korban adalah:

1) Berkongsi rezeki dan nikmat Allah SWT. Berkorban mendidik kita yang rezeki adalah pemberian Allah SWT. Maka ini mengajarkan kita agar tidak sombong dengan hasil titik peluh kita.

2) Melatih diri untuk tidak terlalu mengejar harta dunia. Daging korban lebih adfal disedekahkan kepada orang fakir miskin. Jadi ini mendidik kita agar tidak mementingkan diri.

3) Menguji tahap keimanan kepada orang yang melakukan korban. Ibadah ini mempunyai pelbagai syarat sah yang perlu dipenuhi, bermula daripada pemilihan haiwan, proses sembelihan dan juga agihan daging. Semua ini menguji iman dan kesabaran orang yang berkorban.

4) Membudayakan syiar Islam kepada masyarakat. Berkorban merupakan sunnah yang sentiasa dilaksanakan Baginda SAW. Pelaksanaan korban setiap tahun secara tidak langsung menghidupkan budaya Islam.

5) Merapatkan ukhuwah dan silaturahim. Pelaksanaan ibadah korban memerlukan tenaga yang ramai. Jadi sepanjang proses korban ini dapat merapatkan silaturrahim antara jiran tetangga, ahli qariah dan juga jurang antara mereka yang berada dan kurang berkemampuan.

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman Allah SWT:

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (QS Al – Kauthar: 2).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan