Home Ajaran Sesat JAUHI GOLONGAN YANG MENGAMALKAN DAN BERKEPERIBADIAN YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH AHLI SUNNAH

JAUHI GOLONGAN YANG MENGAMALKAN DAN BERKEPERIBADIAN YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH AHLI SUNNAH

39
0

Ajaran sesat didefinisikan sebagai sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam. Sedangkan pada hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak, qias serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah golongan yang mengikuti pegangan Nabi Muhammad SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW dan Jemaah para Sahabat terutamanya Khulafa’ar-Rasyidin yang dididik Baginda SAW. Secara ringkasnya, akidah ASWJ adalah satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Kemudian, ia disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh ulama-ulama terkemudian terutamanya dua tokoh utama imam ASWJ iaitu Imam Abu al-Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi pegangan tersebut, maka dikhuatiri ianya bukan berdasarkan ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya adalah seperti pengagungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat.

Mereka menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut. Dakwaan palsu tersebut boleh dikesan dari sudut wujudnya atau tidak pengijazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.

Justeru itu, buka minda seluasnya untuk meneliti sejarah-sejarah Islam supaya keyakinan terhadap agama yang diturunkan oleh Allah SWT dan yang menjadi pegangan Nabi Muhammad SAW ini semakin menebal dan bukan sahaja membuatkan kita lebih rasa cinta terhadap Islam,malah turut menghindarkan diri dari terjerumus dengan ajaran sesat.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor