Sebelum ini Al-Haq Centre Malaysia telah mendedahkan perihal wanita bergelar Sittah An-Nur yang dikaitkan sebagai pengasas ajaran sesat terbaru iaitu Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Sebelum ini juga telah dilaporkan supaya masyarakat Islam khususnya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat yang disebarkan dengan mendakwa semua perkara yang dimimpikan oleh pengasas tersebut adalah benar dan masyarakat perlu membuat persediaan untuk menghadapi perang dunia ketiga dan perjalanan akhir zaman.
Namun, keadaan terkini menunjukkan bahawa Sittah semakin ‘mengganas’ dengan mimpi-mimpinya sehingga dikatakan kini telah mempunyai kira-kira 3000 orang pengikut di seluruh dunia. Pengikutnya ini termasuklah terdiri daripada golongan berbagai golongan termasuklah profesional dan pihak mempunyai latihan dalam pensenjataan seperti pesara polis, pesara tentera, doktor dan jurutera juga dikatakan turut terpengaruh dengan dakyah yang disampaikan oleh Sittah An-Nur atau Masitah ini.
Ajaran sesat PMYT ini dikatakan semakin bahaya apabila ia melibatkan soal keselamatan negara kerana Sittah telah menggerakkan anggotanya untuk menyediakan peralatan seperti peralatan memburu, cangkul dan menyediakan makanan di beberapa negeri bersempadan di utara tanah air sebagai persediaan menghadapi perang yang bakal tercetus demi membantu ketenteraan Imam Mahdi suatu hari nanti.
Bukan itu sahaja, Sittah juga dikatakan telah berani membuat ugutan melibatkan nyawa dengan menyatakan bahawa mana-mana orang awam yang cuba menganggu atau menghalang gerakan ajaran ini, maka dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan meragut nyawa orang awam berkenaan. Wanita tersebut yang turut membuat perancangan ala tentera membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan nanti adalah boleh dianggap sebagai menakut-nakutkan rakyat dan boleh mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
Hal ini secara jelasnya menunjukkan ucapan Sittah An-Nur tersebut bersifat ancaman. Ajaran sesat ini secara terang-terang bukan sahaja membawa kepada kesyirikan dan kekufuran malah memberi kesan kepada ketenteraman awam terutamanya kerana akan mewujudkan suasana tidak selamat kepada semua orang berikutan dakwaan mimpi serta ramalan wanita berkenaan. Tindakan Kementerian Dalam Negeri untuk mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (sosma) kepada ketua ajaran PMYT itu adalah satu tindakan yang sangat tepat dan harus dipuji bagi memastikan perkara yang melibatkan keamanan negara tidak boleh dikompromi sama sekali supaya keselamatan negara ini dapat dijaga dengan baik.
Sumber: Harian Metro, 29 OGOS 2021, Harian Metro, 1 SEPT 2021.