Home Kemanusiaan/Motivasi PUASA HARI ASYURA – AMALAN MULIA, PAHALA BERLIPAT GANDA

PUASA HARI ASYURA – AMALAN MULIA, PAHALA BERLIPAT GANDA

96
0

Apabila masuknya bulan Muharram, ia merupakan penanda permulaan tahun Islam yang baharu. Apabila masuknya tahun baru, maka kita sebagai umat Islam juga akan memasang niat dan azam baru untuk menjadi Muslim yang sejati.

Akan tetapi, bagaimana pula amalan yang dianjurkan dalam agama Islam ketika bermulanya bulan Muharram? Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyakkan puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’). Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 

“Puasa yang paling utama setelah  Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, iaitu Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam.” (HR Muslim).

Puasa sunat Asyura yang jatuh pada 10 Muharram setiap tahun, adalah lebih baik dilaksanakan selama dua hari berturut-turut sama ada 9 dan 10 Muharram atau 10 dan 11 Muharram. Namun begitu, umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada  9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW:

“Berpuasalah kalian di hari Asyura dan berbezalah dengan golongan yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (HR Ahmad).

Antara amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam sepanjang hari Asyura adalah dengan memperbanyakkan doa dan sedekah serta berpuasa. Rasulullah SAW bersabda:

“Dan puasa di  hari ‘Asyura’ saya berharap kepada Allah agar dapat menghapuskan (dosa) setahun yang lalu.” (HR Muslim).

Oleh itu, marilah kita sama – sama memperbanyakkan amalan kita dengan melakukan perkara – perkara yang disunatkan oleh Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja amalan mulia, tapi pahala kita juga akan berlipat ganda.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan