Ajaran sesat Millah Abraham adalah ajaran yang diasaskan oleh seorang warga Indonesia yang berasal dari Bogor yang bernama Ahmad Musadeq. Ajaran ini terdapat dalam beberapa nama tetapi sebenarnya membawa ajaran dan fahaman yang sama. Pada satu peringkat, mereka menjalankan aktiviti secara aktif tetapi berselindung di sebalik pertubuhan kebajikan bagi mengaburi mata masyarakat dan pihak penguatkuasa.
Pengasas gerakan Millah Abraham ini dikatakan sering datang ke Malaysia sejak tahun 2000 lagi untuk menyebarkan ajaran tersebut. Sekitar tahun 2014, dianggarkan lebih 5000 pengikutnya dikesan di negara ini terutamanya di Pahang dan Selangor. Berikutan itu, ajaran Millah Abraham ini telah difatwakan sesat dan diharamkan oleh beberapa Majlis Fatwa Negeri sebagai ajaran sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2016.
Namun, baru-baru ini kecoh dengan penangkapan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) terhadap tiga beranak yang dipercayai pengikut ajaran Millah Abraham. Hal ini menunjukkan ajaran Millah Abraham ini cuba dihidupkan semula dan yang menjadi persoalannya, apakah misi mereka yang ingin dicapai serta persiapannya?
Secara faktanya, pengasas ajaran Millah Abraham pernah menjadi anggota Negara Islam Indonesia (NII), tetapi keluar daripada NII dan membuat ajaran baru, maka matlamat dan strategi perjuangannya hampir sama dengan matlamat dan perjuangan NII iaitu untuk membentuk sebuah Daulah Islam mengikut acuannya dengan jalan jihad dan keganasan.
Ajaran Millah Abraham ini dikatakan sesat kerana membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariat Islam seperti berikut:
i. Mendakwa ajaran Islam sekarang adalah palsu dan mendakwa Rasul Millah Abraham iaitu Ahmad Musadeq telah diutuskan oleh Allah sebagai Rasul kepada kaum Melayu Nusantara;
ii. Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;
iii. Meninggalkan solat lima waktu dan solat jumaat;
iv. Mewajibkan bai’ah (perjanjian) dan dihalalkan untuk memutuskan hubungan keluarga termasuk suami isteri jika pasangan enggan menyertai ajaran Millah Abraham.
Fakta-fakta ini secara jelasnya telah menggambarkan bahawa ideologi-ideologi ajaran Millah Abraham adalah bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam sebenar. Justeru itu, mengapa masih percaya dengan dakyah yang ditaburkan oleh mereka? Seharusnya kita menjauhi fahaman yang menyeleweng seperti ajaran sesat Millah Abraham tersebut sebagaimana nasihat Umar Ibn al-Khattab RA yang bermaksud: “Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan di dalam kebatilan”.
Sumber: Bayyan Linnas Siri ke-50- SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Bernama – 11 JULAI 2024