Home Kemanusiaan/Motivasi HIDAYAH ALLAH SWT ITU SANGAT MAHAL – HANYA INSAN TERPILIH YANG MERASA...

HIDAYAH ALLAH SWT ITU SANGAT MAHAL – HANYA INSAN TERPILIH YANG MERASA NIKMATNYA

147
0

Asbab daripada insiden kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India yang mengakibatkan seorang wanita warganegara India terjatuh ke dalamnya, membuatkan seorang lelaki Hindu warga tempatan memeluk Islam tiga hari selepas kejadian tersebut. Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang membantu urusan lelaki berkenaan berkata, lelaki tersebut sudah lama mempunyai niat untuk memeluk Islam. Namun, selepas peristiwa yang hampir membuatkan beliau terjatuh ke dalam lubang itu, menjadi ‘wakeup call’ untuk beliau tidak bertangguh lagi memeluk agama Islam.

Nampak bukan? Hidayah Allah SWT itu sangat mahal dan hanya mampu dirasakan oleh insan – insan yang terpilih sahaja. Sesungguhnya Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada manusia melalui pelbagai cara. Dengan itu setiap insan perlu berusaha untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT melalui cara-cara yang telah ditentukanNya. Hidayah Allah SWT itu tiada tolok bandingnya. Terlalu mahal nilainya dan tidak mampu diukur dengan apa pun kerana ia merupakan kurniaanNya kepada sesiapa dikehendakiNya.

Walaupun dilahirkan dalam keadaan sudah sedia Islam, itu bukan bermakna kita tidak perlu mencari petunjuk-Nya lagi. Mengertilah, hidayah itu perlu dicari kerana ia tidak datang bergolek dalam kehidupan. Doa dan memohon hidayah kepada Allah SWT merupakan kunci paling utama untuk kita menggapainya. Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang mana Allah SWT berfirman:

“Wahai hamba-hamba-KU, kalian semua tersesat kecuali orang yang AKU beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-KU, nescaya AKU akan berikan petunjuk kepada kalian.” (HR Muslim).

Ketahuilah bahawa betapa pentingnya hidayah dalam kehidupan kita adalah demi keselamatan dan kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Ini seperti juga firman Allah SWT menerusi surah Al – Fatihah, ayat 6 yang bermaksud:

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”

Walaupun Allah SWT telah mentakdirkan dalam perjalanan kehidupan manusia untuk mendapatkan pahala itu sangat terbatas, ditambah pula dengan dorongan nafsu yang fitrah suka melakukan segala bentuk dosa dan keburukan. Maka ia merupakan suatu cabaran yang utama kepada umat manusia untuk mencari petunjuk kepada kebaikan. Natijahnya, setiap manusia perlu gigih berusaha untuk mendapat petunjuk (hidayah) yang baik dari sisi Allah SWT, supaya dapat melakukan sesuatu yang baik pula di dalam kehidupan ini. Wallahualam.

Sumber: Kolum Aqidah, Sinar Islam, Sinar Harian (31 Oktober 2023)