Home Kemanusiaan/Motivasi MALAYSIA MERDEKA KE – 67 TINGKATKAN IMAN, PERKUKUHKAN UKHUWAH

MALAYSIA MERDEKA KE – 67 TINGKATKAN IMAN, PERKUKUHKAN UKHUWAH

42
0

Walaupun hari kemerdekaan Malaysia yang ke -67 sudah tiga hari berlalu, namun ia tidak bererti kita harus berhenti dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sebagai umat Islam, sudah semestinya kita mempunyai azam untuk memperbaiki diri sendiri menjadi yang lebih baik. Sempena dengan bulan kemerdekaan dan sekaligus bulan bagi Hari Malaysia ini, apa kata kita mula untuk perbaiki iman kita dan mengukuhkan ukhuwah sesama Muslim.

Ibadah solat fardu lima waktu adalah tiang agama yang mesti ditegakkan dan diperkukuh setiap hari. Meninggalkannya mahupun meremehkannya seolah-olah seseorang merobohkan tiang agama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang beriman, (iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka. Dan mereka yang memelihara solat mereka.”

Masa dalam kehidupan harian seseorang Mukmin itu diatur dengan susunan waktu solat. Susunan waktu solat, Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak menggambarkan susun atur penuh disiplin untuk umat Islam. Rasa keterikatan hati seseorang Mukmin itu pada setiap tertib atur waktu solat akan membawa kepada berkesannya pengurusan masa seseorang.

Selain pengurusan masa dapat dipelihara dengan baik menerusi ibadah solat, umat Islam juga seolah-olah mendapat manfaat yang sangat bernilai iaitu memperkukuh hubungan persaudaraan atau ukhuwah. Ini boleh dilihat menerusi solat berjemaah di masjid mahupun di surau. Asas keutuhan umat Islam dijana melalui masjid dengan ibadah solat berjemaah sebagai penterjemah kepada terbinanya keukhuwahan itu. Apa sahaja benih perselisihan dan perpecahan mampu dihapuskan melalui ibadah solat berjemaah.

Rasulullah SAW begitu gembira apabila umatnya sentiasa menjaga dan memelihara solat secara berjemaah. Solat berjemaah terkandung didikan yang mengajar kita untuk saling berukhuwah. Lihat bagaimana indah penuh pesona para jemaah berdiri dalam saf di rumah Allah. Kita menanggalkan segala status sosial, baik kedudukan harta benda, ketinggian pangkat mahupun gelaran kurniaan, hanya kerana satu iaitu bersatu dalam melaksanakan sunah Nabi SAW.

Solat berjemaah adalah antara ibadah kesayangan Rasulullah SAW yang perlu kita teruskan pelaksanaannya. Ini kerana melalui solat berjemaah lah kita mampu memperbaiki iman dan mengukuhkan ukhuwah. Oleh itu, jadikanlah kesungguhan kita mendirikan solat secara berjemaah sebagai ‘azimat bersakti’ dalam membina semangat perpaduan sesama ummah. Ini kerana menerusi langkah kaki kita untuk bersama-sama jemaah lain mampu memercikkan sifat mahmudah yang akan mengisi takhta hati kita. Rasulullah SAW bersabda:

“Solat menghapuskan yang berlaku antara satu solat dengan yang satu lagi, melainkan dosa besar.” (HR Muslim).

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (26 Ogos 2024)